Yee Fatt akui berada dalam tekanan

Pemain Perak, Shahrul Saad (kiri) berusaha mengekang pemain Harimau Kumbang pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya pada Sabtu. - Foto Perak FC
Pemain Perak, Shahrul Saad (kiri) berusaha mengekang pemain Harimau Kumbang pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya pada Sabtu. - Foto Perak FC
A
A
A

PENGENDALI Perak FC, Chong Yee Fatt mengakui berada dalam tekanan selepas The Bos Gaurus tewas 1-2 kepada Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya.

Skuad Bos Gaurus itu masih gagal meraih kemenangan dalam empat perlawanan terakhir selepas tewas kepada Terengganu FC dan KL City selain seri 2-2 dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada hujung Mac dengan kemenangan tunggal yang dicapai Perak FC adalah ketika menentang Sri Pahang FC pada 10 Mac lalu.

“Kami bermain baik pada separuh masa pertama dengan menjaringkan gol awal tetapi malangnya kita tidak dapat mengekalkan rentak tersebut. Sudah tentu separuh masa kedua, Penang FC kembali dengan mentaliti untuk meraih kemenangan. Kami mempunyai peluang menjaringkan gol tetapi gagal menyempurnakannya.

“Sudah tentu ada tekanan..tekanan itu selalu ada,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan pada Sabtu.

Dalam perlawanan itu, Careca membuka tirai jaringan Perak FC pada minit ke-11 sebelum Penang FC menyamakan kedudukan melalui Casagrande minit ke-43 dan Rafael Vitor memastikan kemenangan untuk skuad daripada Utara itu menerusi gol pada minit ke-71.

Mengulas lanjut, Yee Fat turut mengakui jentera tengah Perak FC itu kurang kreativiti menyumbang persembahan hambar pasukan itu.

“Saya percaya kita kekurangan kreativiti. Kita tidak mempunyai pemain yang kreatif. Kita boleh ada penguasaan posisi dalam perlawanan, tetapi kita tidak ada pemain yang boleh memberikan hantaran berkesan atau membuat keputusan di tengah padang.

“Sehingga sekarang, lawan mudah untuk membaca permainan kami dan ia memberikan kesukaran kepada kami untuk menembusi pasukan lawan. Seperti yang saya katakan, kami mampu membina permainan, tetapi sentuhan akhir tidak ada,” katanya.

Artikel Berkaitan: