Menteri, warga asing sama degil tak nak pakai pelitup muka

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

APABILA berjumpa dengan seseorang menteri, kita tentunya akan memberi hormat kepadanya. Maklumlah mereka digelar Yang Berhormat (YB).

Malaysia adalah antara negara dalam dunia yang mempunyai paling ramai menteri dalam kerajaan.

Bagaimanapun, dengan sejumlah menteri yang begitu ramai itu, tidak bermakna kebajikan rakyat dapat dibela dengan sebaiknya.

Malahan, sesetengah tingkah laku dan keperibadian YB itu kadang-kala tidak sepadan dengan gelaran mereka.

Ini biasanya boleh dilihat ketika mereka bertelagah dalam sidang Parlimen.

Selain itu, sifat kedegilan mereka pun berada di tahap melampau.

Contohnya, ketika rakyat jelata sudah akur memakai pelitup muka untuk menghalang penularan Covid-19, ada menteri pula yang masih keras kepala.

Mereka rasa seperti tidak bersalah tanpa memakai pelitup muka padahal mereka bertemu dengan ramai orang.

Artikel Berkaitan:

Lebih dikesali ialah kesalahan menteri-menteri kabinet itu tidak pula menerima hukuman denda seperti yang dikenakan terhadap rakyat jelata.

Dalam media sosial, ramai netizen tidak puas hati rakyat dilayan secara tidak adil dan hukuman ikut pilih kasih.

Berbeza pula nasib seorang lelaki yang menegur dua warga asing yang tidak memakai pelitup muka dalam satu kejadian pada minggu lalu.

Hanya kerana meminta dua warga Somalia itu memakai pelitup muka, lelaki bersama anaknya berusia 15 tahun teruk dikena tumbuk.

Mangsa lebam pada bahagian mata manakala anaknya ditumbuk hingga pengsan.

Sememangnya kita sudah dapat membiasakan diri dengan amalan normal baharu. Tetapi kenapa dengan orang-orang yang masih bersikap degil dan tidak mahu memikirkan keselamatan orang lain?

Melalui sekeping pelitup muka, kita sudah nampak sebenarnya perangai sesetengah menteri kabinet tidak jauh bezanya dengan warga asing!