Duit dana asing vs dedak 1MDB

A
A
A

*MANA lebih berbahaya, terima duit daripada dana 1MDB, atau dana asing? Kata Tuan Ibrahim Tuan Man, isu dana asing yang didakwa diterima DAP adalah lebih bahaya berbanding isu RM90 juta yang didakwa diterima Pas.

Timbalan Presiden Pas itu mendakwa International Republican Institute (IRI) telah mengesahkan pemberian dana kepada parti Cina itu, dan meminta pihak berkuasa menyiasat.

“Saya fikir rakyat perlu bimbang (dana asing) ini lebih bahaya daripada isu RM90 juta yang memang tak ada pun,” katanya kepada media.

Tuan Ibrahim yang juga Anggota Parlimen Kubang Kerian itu mengulas laporan polis oleh Pemuda Pas agar siasatan dibuat terhadap dakwaan DAP menerima dana asing.

Kepada rakyat biasa sama ada menerima duit daripada dana asing, atau duit 1MDB, kalau betul kedua-duanya salah, maka dua-dua kena siasat.

*ADA pun perihal kononnya parti Islam itu menerima habuan RM90 juta dedak daripada kepuk yang didakwa 1MDB, sampai kini masih lagi diperkatakan orang.

Ia malah menjadi lebih hangat setelah Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang memutuskan untuk menyelesaikan kes tersebut dengan editor Sarawak Report di luar mahkamah.

Cuma sehari dua ini isu RM90 juta itu semakin panas kerana Anggota Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengaku berbohong mengenai pengakuannya dalam video bahawa RM90 itu diterima Pas.

Artikel Berkaitan:

Dengan pembohongan itu orang menjadi bertambah keliru dalam isu dedak RM90 juta, maka patutlah kekeliruan itu disiasat, supaya semuanya jelas.

*SAMA ada terima duit daripada dana asing atau 1MDB, semuanya masih samar-samar, belum jelas. Apa yang sudah jelas ialah menerima duit daripada syarikat judi.

Perihal pemberian daripada syarikat judi Da Ma Cai itu tidak ada keraguan lagi sebab telah disahkan oleh kerajaan, termasuk oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Seperti didedahkan Sarawak Report syarikat tersebut telah menaja pemergian Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun, dan beberapa pegawai tertinggi Bukit Aman ke Turki, baru-baru ini.

Konon itu adalah rombongan sambil belajar untuk mengetahui kaedah membanteras judi online yang menjadi-jadi sekarang. Maka hendak perangi judi, boleh guna duit syarikat judi...

*MENURUT SPRM rombongan pegawai-pegawai tertinggi polis yang dibiayai syarikat judi itu tidak melanggar undang-undang dan tidak melibatkan salah laku.

Kata Lim Guan Eng perbelanjaan kira-kira RM300,000 untuk penerbangan dan penginapan itu tidak melibatkan sesen pun duit kerajaan.

Menurut Menteri Kewangan, penajaan ke Istanbul itu adalah daripada syarikat ramalan nombor Da Ma Cai, dan diluluskan oleh Lembaga Totalisator Malaysia.

Mungkin tidak ada salah laku, tetapi masih menimbulkan keraguan dan teka-teki, termasuk dalam kalangan pegawai tinggi polis sendiri.

Mereka bertanya kalau hendak belajar memerangi judi online, mengapa hantar pegawai-pegawai yang sebahagian besarnya akan bersara wajib, termasuk Fuzi dan timbalannya?

Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) mempunyai pakar judi yang bertugas di ibu pejabat polis daerah, kontinjen mahupun di ibu pejabat di Bukit Aman. Sepatutnya mereka yang dihantar kursus.

Pendek kata walaupun di mata SPRM dan di mata kerajaan rombongan ke Istanbul itu tidak menyalahi mana-mana undang-undang, di mata – dan hati – rakyat, tetap ada sesuatu yang tidak kena.

*SEPERTI dilaporkan media. Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata Islam hanya membenarkan umatnya berbohong dalam perkara tertentu disebabkan faktor keselamatan.

Menurutnya, seseorang Muslim tidak berdosa jika berbohong dalam keadaan perang atau menyelamatkan orang daripada dizalimi.

“Bohong ini memang agama tak suka. Agama ini (Islam) bukan agama bohong, agama ini agama fakta. Tapi kalau bohong itu disebabkan keselamatan tertentu maka orang boleh bohong.

“Bagaimanapun, bohong selepas mengambil duit, bohong di manifesto tidak diterima dalam Islam,” katanya ketika menjawab satu soalan dalam rakaman kuliah yang disiarkan di Facebooknya.

Tidak pasti apakah Mufti Perlis yang juga pakar hadis itu merujuk kepada mana-mana individu, atau mana-mana parti politik.

*AKHIR kalam hari ini adalah penamaan calon bagi PRK Dun Semenyih. Sebenarnya panas sudah terasa sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Maka tidak kira siapa yang dicalonkan, tidak syak lagi PRK terbaharu ini pasti lebih sengit dari yang terjadi di Cameron Highlands beberapa minggu lalu. Ada sesiapa hendak bertaruh?