Jangan risau datang ke stadium

Antara aksi menarik pertemuan KL City menentang Sabah pada saingan Liga Super di Cheras baru-baru ini. Gambar kecil: Ab Ghani
Antara aksi menarik pertemuan KL City menentang Sabah pada saingan Liga Super di Cheras baru-baru ini. Gambar kecil: Ab Ghani
A
A
A

PENYOKONG bola sepak di negara ini tidak perlu risau untuk hadir ke stadium selepas kerajaan telah memberikan kebenaran untuk penonton kembali ke stadium memeriahkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) bermula Selasa ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya akan sentiasa memantau prosedur operasi standard (SOP) di stadium dalam usaha mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan penonton.

"Penonton mungkin ada pendapat masing-masing seperti mungkin selesa untuk menonton secara langsung aksi liga di pelbagai platform digital seperti You Tube dan sebagainya. Tetapi, MFL sudah berusaha untuk membawa kembali penonton hadir ke stadium, maka gunakan kebenaran otu sebaiknya untuk memeriahkan stadium.

"Kalau boleh penuhkan kuota di stadium yang telah disediakan untuk memberikan sokongan kepada pasukan sekali gus akan kembali merancakkan saingan liga kita.

"Tunjukkan sokongan kita dengan kebenaran yang telah diberikan kerajaan itu dengan hadir ke stadium.

"Kami juga akan terus memantau dengan ketat SOP di stadium dalam usaha mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan penonton dan memastikan kelancaran saingan liga musim ini," katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Terdahulu, dua perlawanan membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Melaka United FC di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri pada Jumaat dan Kuala Lumpur City FC bertemu Sabah di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Sabtu lalu yang menjadi projek perintis untuk menilai keberkesanan protokol pengurusan penonton berjalan dengan lancar.

Namun, kehadiran penonton terutama aksi di Cheras tersebut tidak mencapai kuota dengan hanya 1,109 penonton berbanding 1,450 penonton dibenarkan dalam perlawanan itu sekali gus mengundang kemungkinan penonton masih risau untuk hadir ke stadium ekoran wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ab Ghani turut mahu beberapa SOP di stadium dapat ditambah baik oleh pengurusan kelab terutama kelemahan ketika penyokong mahu keluar daripada stadium selepas perlawanan berakhir.

"Secara keseluruhannya dua perlawanan perintis itu memuaskan dengan segala SOP diikuti oleh penyokong. Cuma ada kelemahan di peringkat pengurusan dan pemantauan iaitu ketika waktu penonton keluar daripada stadium perlu dipertingkatkan iaitu tidak membiarkan penonton keluar beramai-ramai dan dibuat secara berperingkat.

"Kelemahan ini dapat kita kesan dan dapat ditegah pada hari perlawanan itu. Penyokong juga harus memahami sendiri SOP, jangan nak tunggu diarahkan baru nak buat dan sebagainya. Tetapi, SOP lain penyokong dapat patuhi dengan sempurna.

"Selain itu, MFL juga mengharapkan penyokong yang datang ke stadium tidak datang pada minit-minit akhir. Contohnya perlawanan 8.30 malam, mereka datang jam 8.15 jadi ia agak menyukarkan kelancaran untuk penonton masuk ke stadium kerana banyak SOP yang perlu dipatuhi.

"Tetapi, kami memahami kerana ia adalah permulaan untuk penonton dalam situasi ini dan saya percaya ia akan dapat ditambah baik daripada semasa ke semasa," katanya.