Parahnya budaya mengikut tanpa sebab

A
A

NAMPAKNYA budaya mengikut tanpa sebab di negara kita semakin hari semakin parah. Malah ia menjadi isu yang global. Tambahan pula dengan adanya perkembangan teknologi media baharu telah menyebabkan sikap sebegini semakin parah kesan daripada kuasa tular di media sosial.

Kadangkala kita terasa pelik kenapa hal sebegini boleh berlaku sedangkan manusia dianugerahkan akal dan hati untuk membuat pertimbangan yang betul. Apa yang jelas, kuasa meniru tingkah laku itu lebih besar pengaruhnya daripada berusaha untuk mencari sebab kenapa kita perlu lakukan sesuatu perkara dengan menggunakan akal dan pertimbangan hati. Persoalannya, mengapa kuasa tingkah laku ini lebih besar?.

Sebetulnya, tidak ramai individu yang mahu berfikir dengan rasional, sama ada sesuatu perkara itu perlu dilakukan atau tidak. Bagi mereka, jika majoriti boleh lakukan perbuatan tersebut kenapa mereka tidak boleh?. Selain itu, mereka juga malas untuk menyusahkan dan mencari risiko dengan memikirkan cara lain untuk melakukan sesuatu perkara. Apa yang penting, mereka rasa senang dan selesa untuk mengekalkan sikap berkenaan.

Berkaitan hal ini, saya sendiri telah menempuh banyak pengalaman berhadapan dengan individu yang hanya tahu mengikut kelompok majoriti dengan tidak mahu menyusahkan diri mereka. Sebagai contoh, saya pernah ke sebuah bank untuk mengeluarkan duit dan mendapati ramai yang beratur panjang hanya di sebuah mesin ATM, sedangkan ada satu lagi mesin ATM yang berdekatan.

Apabila saya bertanya kepada salah seorang yang beratur, “Kenapa tidak beratur di mesin ATM yang satu lagi? Maka jawapannya cukup mudah iaitu, “Tadi ada orang cakap mesin ATM itu ada masalah teknikal”. Pun begitu, saya tidak turut sama beratur dengan mereka sebaliknya cuba untuk ke mesin ATM yang dikatakan rosak tadi. Apa yang berlaku, saya dapat gunakan mesin ATM tersebut tanpa masalah. Kesannya, ramai pula yang beratur di belakang saya.

Isu bekaitan dengan budaya mengikut tanpa sebab ini bukan sahaja melibatkan perkara kecil dan remeh, malah kadangkala boleh merosakkan pegangan akidah seseorang. Apa yang jelas, kuasa tular telah ‘membinasakan’ kewarasan akal manusia. Apa yang nyata, begitu ramai yang mudah mengikut pelbagai jenis tarian, percakapan, nyanyian serta penggunaan simbol yang ditularkan walaupun mereka sendiri tidak tahu apa tujuan sebenar perlakuan tersebut.

Selain itu, terdapat juga yang terpengaruh dengan tularnya tempat makan sedangkan rasa makanan adalah hampir sama dengan tempat-tempat yang lain. Malah kadangkala layanannya lagi teruk kerana pelanggan sudah terlalu ramai.

Sebetulnya, sikap suka mengikut tanpa sebab ini telahpun dilakukan beberapa eksperimen oleh ahli-ahli psikologi sosial. Antaranya ialah eksperimen terhadap lima ekor monyet dengan seikat pisang yang diletakkan di atas tangga yang boleh dilipat pada tahun 1996. Walaupun kesahihan eksperimen ini masih lagi menjadi perdebatan sehingga kini, namun kebanyakan mereka bersetuju dengan pengajaran boleh diambil daripada kajian ini.

Eksperimen ini dimulakan dengan menyembur air yang cukup sejuk atas setiap percubaan monyet untuk mendapatkan pisang. Setelah beberapa ketika, sekumpulan monyet tersebut cuba untuk memanjat tangga berkenaan bagi mendapatkan pisang. Namun, sekali lagi mereka disembur dengan air sejuk. Akhirnya, mereka mula menghalang sesama mereka agar tidak lagi berusaha untuk mendapatkan pisang berkenaan.

Langkah kedua eksperimen ini ialah dengan menggantikan seekor monyet lama dalam bilik berkenaan dengan monyet baharu. Apabila monyet baharu tersebut hendak memanjat tangga bagi mendapatkan pisang berkenaan, secara langsung empat monyet sebelum ini terus menerkam monyet tadi kerana takut disiram semula dengan air sejuk.

Seterusnya, eksperimen ini dilakukan dengan mengulangi kaedah menukarkan monyet lama dengan yang baharu sehinggalah kesemua monyet baharu sahaja yang tinggal. Apa yang menarik kesemua monyet baharu tersebut mengulangi semula tingkah laku monyet sebelum ini yang menghalang monyet lain untuk mendapatkan pisang berkenaan walaupun sudah tidak disembur lagi dengan air yang sejuk semenjak pertukaran monyet yang pertama lagi.

Walaupun monyet tersebut tidak boleh bercakap, namun jika kita bertanya kepada monyet berkenaan kenapa mereka tidak berani mengambil pisang?. Kemungkinan jawapannya ialah, “Kami pun tidak tahu kenapa kami takut untuk mengambil pisang kerana apa yang kami tahu ialah menghalang setiap cubaan monyet baharu untuk dapatkan pisang berkenaan.”.

Justeru, adalah cukup malang jika kita tidak menggunakan akal dan pertimbangan hati sebelum melakukan sesuatu perkara. Ingatlah! Mengikut tanpa akal dan pertimbangan hati umpama memandu dengan menutup mata. Cukuplah nafsu menjadi raja.

*Prof Madya Dr Huzili Hussin Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.