Hati-hati helah Muhyiddin: PKR

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

IPOH - Semua parti di dalam Perikatan Nasional (PN) mahupun yang berhasrat menyertai gabungan itu dinasihat supaya berhati-hati dengan helah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR pernah berdepan pemimpin utama Bersatu itu yang mahu menjadi dominan di dalam Pakatan Harapan (PH) dengan meminta 80 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurutnya, alasan yang dikemukakan pada waktu itu ialah Bersatu sebagai parti mewakili orang Melayu mesti dilihat mempunyai kelebihan kerusi untuk menarik pengundi berbangsa Melayu.

"Semalam (Sabtu), dia (Muhyiddin) berucap dalam Perhimpunan Agung MIC, dia kata PN ini adalah satu gabungan yang tidak ada dominasi satu parti atau satu kaum. Watak yang saya kenali, rakan dan pengalaman masa dalam PH dia mahu kerusi lebih kepada Bersatu.

"Jadi saya nasihatkan komponen ataupun penyokong dalam PN harus berhati-hati baik Gerakan, baik MIC, baik PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) yang sekarang menyokong dia, mereka harus melihat bahawa watak Presiden Bersatu ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Tambun di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Pada 3 April lalu, Muhyiddin ketika berucap pada Perhimpunan Agung MIC ke-74 menyatakan bahawa MIC boleh melakukan sumbangan besar kepada situasi semasa dengan mengutamakan politik perpaduan demi kebajikan rakyat, bukan politik pecah belah untuk kepentingan sempit.

Sementara itu, Saifuddin berkata, PKR masih terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam berdepan dengan PRU15.

Menurutnya, sejarah parti itu membuktikan bahawa mereka tidak berseorangan dalam menghadapi pilihan raya umum sejak tahun 1999.

Artikel Berkaitan:

"Sejarah PKR dalam menempuh pilihan raya, rekod kita menunjukkan kesediaan kita untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak asal sahaja perkara yang menjadi prinsip dalam parti iaitu Islam agama Persekutuan dan kebebasan beragama, institusi raja-raja Melayu diiktiraf sebagai sebahagian daripada sistem demokrasi negara kita ada peranan dan fungsi dia yang ketiga adalah tentang kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah, Sarawak serta bahasa Melayu bahasa rasmi dipersetujui.

"Prinsip kita juga membanteras rasuah, berusaha mewujudkan tatakelola pemerintahan, itu prinsip-prinsip kita. Kalau ada gabungan selain daripada PH yang menerima prinsip ini kami nyatakan bahawa PKR bersikap terbuka untuk meneroka potensi kerjasama dengan mana-mana pihak tanpa menamakan pihak yang berminat," katanya.