Gagal manfaatkan peluang terhidang punca TFC II seri lagi

Antara aksi menarik pertemuan TFC II menentang PDRM FC dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Foto: PDRM Football Club
Antara aksi menarik pertemuan TFC II menentang PDRM FC dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Foto: PDRM Football Club
A
A
A

GAGAL menyempurnakan peluang yang ‘terhidang’ di depan mata merupakan antara punca Terengganu FC II (TFC II) terpaksa berkongsi mata dengan PDRM FC selepas seri 1-1 dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Sabtu.

Keputusan seri ini merupakan yang kelima berturut-turut dicapai skuad bimbingan Badrul Afzan Razali yang sebelum ini seri dalam pertemuan dengan Kuching City FC (1-1), Negeri Sembilan (2-2), Kelantan FC (0-0) dan Sarawak United (0-0).

Badrul Afzan berkata, anak buahnya menunjukkan aksi yang baik pada separuh masa pertama sehingga meledakkan gol pada minit 35 melalui sepakan dalam kotak penalti Mohammad Ramzi Sufian.

Namun, penghuni tangga keempat liga itu terleka apabila memasuki separuh masa kedua sehingga membuka ruang kepada skuad Sang Saka Biru menyamakan kedudukan pada minit ke-49 melalui tandukan Alexander Amponsah.

“Saya sering ingatkan pemain, 10 minit terawal sama ada separuh masa pertama atau kedua, perlu fokus. Kita mempunyai peluang tetapi tidak menyempurnakannya dengan baik. Mungkin apabila mereka cuba menjaringkan gol, tetapi tidak berjaya jadi mereka pun putus asa,” katanya dengan nada kecewa ketika ditemui pemberita selepas perlawanan itu di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, pembantu jurulatih PDRM FC, Eddy Gapil menyifatkan keputusan itu memberi semangat positif buat pasukannya yang kini menduduki tangga kesepuluh liga.

Katanya, walaupun percaturannya pada separuh masa pertama tidak menjadi, namun pada separuh masa kedua para pemain bangkit memberi saingan yang sengit kepada tuan rumah.

“Apa yang kita rancang malam ini menjadi. Syukur dapat juga kumpul satu mata. Ini sudah cukup bermakna buat kami,” katanya.

Artikel Berkaitan: