Ka Siong beri penjelasan berhubung projek kabel dasar laut

Ka Siong
Ka Siong
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menafikan bahawa syarikat gergasi teknologi tidak memilih Malaysia dalam perancangannya untuk memasang kabel dasar laut berikutan dasar kabotaj negara.

Beliau berkata, kabel dasar laut Echo dan Bifrost hanya melalui Singapura dan bukan Malaysia kerana Facebook telah membina pengkalan data di Tanjong Keling Data Center Park, Singapura pada 2019.

Menurutnya, projek kabel dasar laut sebelum itu juga melepasi Malaysia seperti kabel konsortium Asia Tenggara-Jepun 2 (SJC2) pada 2018.

"Pusat data berada di Singapura, bukannya di Malaysia, kita kekurangan infrastruktur data. Misalnya pada tahun 2018-2019, Malaysia sibuk membazir masa dan duit untuk idea-idea lapuk seperti mahu membangunkan kereta terbang, bukannya pusat data dan revolusi industri 4.0," menurutnya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook beliau pada Ahad.

Ka Siong berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal yang memetik kenyataan Malaysia Internet Exchange's (MyIX) bertajuk 'MyIX: Facebook’s new undersea cables to Singapore and Indonesia a huge loss for Malaysia due to cabotage issue' serta dikongsi bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di media sosial.

Beliau berkata, susulan ketegangan hubungan Amerika Syarikat (AS) dengan China, syarikat AS juga ingin mengelak meletakkan kabel di Laut China Selatan kerana bimbang lalu lintas komunikasi negara itu mungkin terdedah kepada pemantauan Beijing.

Katanya, disebabkan hal itu, berlaku trend meletakkan kabel melalui Lautan Pasifik sebagai ganti melewati Laut China Selatan sejak 2018, oleh itu, tidak timbul kaitan dengan dasar kabotaj negara.

Ka Siong turut berkata, keputusan membatalkan pemberian pengecualian dasar kabotaj bagi kerja pembaikan kabel dibuat antaranya bagi mengurangkan aliran keluar wang asing dalam bentuk bayaran fret atau perjanjian penyewaan kapal dan insurans di dalam ‘Balance of Payment Account’ negara.

Artikel Berkaitan:

Langkah itu juga bertujuan mengurangkan kebergantungan negara kepada kapal asing dengan meningkatkan penyertaan syarikat perkapalan tempatan dalam perkhidmatan domestik serta meningkatkan kepakaran teknikal melalui pembangunan sumber manusia dalam kalangan warga tempatan.

Menurut kenyataan itu, Anthony Loke memberi pengecualian dasar kabotaj kepada kerja pembaikan kabel dasar laut berkuat kuasa 1 April 2019 sebelum pengecualian tersebut ditamatkan oleh Ka Siong pada 15 November 2020.

Ka Siong turut menyatakan kesediaan beliau untuk mengatur pertemuan antara Anthony Loke dan pemain industri perkapalan negara bagi mendengar sendiri mengenai dasar kabotaj yang diamalkan Kementerian Pengangkutan ketika ini. - Bernama