'Kalau Tun M jadi PM dua kali, mengapa tidak Najib?'

Gambar dari kiri: Najib - Foto Bernama, Dr Mahathir
Gambar dari kiri: Najib - Foto Bernama, Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak masih berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, sebagaimana dilakukan oleh seorang lagi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Ahmad Zaini Japar berkata, meskipun Najib disabitkan dengan kes mahkamah berkaitan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya, itu bukan keputusan muktamad kerana hala tuju pendakwaan kes masih samar.

Jelas beliau, tiada pihak boleh menafikan Ahli Parlimen Pekan itu mempunyai kebolehan dan kemampuan menerajui kepimpinan negara berdasarkan rekod beliau sebagai Perdana Menteri sebelum kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Walaupun Najib ada kes 1MDB, namun kes tersebut masih rayuan. Jadi Najib ada kemampuan untuk jadi Perdana Menteri semula. Tun Dr Mahathir Mohamad boleh jadi PM dua kali, mengapa Najib tak boleh?

"Ada orang muda meminta mereka diberi peluang mengemudi parti, namun ilmu sahaja tidak memadai tanpa pengalaman.

"Kita perlu seimbang (antara ilmu dan pengalaman), Kalau nak cakap Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (calon pilihan PM), beliau pun lari juga waktu UMNO susah. (Presiden UMNO) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pun boleh tetapi ada masalah juga," katanya pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai persoalan calon-calon Perdana Menteri yang berpotensi diketengahkan UMNO sekiranya parti itu memuktamadkan pendirian untuk bergerak solo bagi menghadapi PRU15.

Persoalan itu ditimbulkan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang menegaskan salah satu masalah perlu diselesaikan jika BN ingin bertarung bersendirian adalah merungkai persoalan siapa bakal calon Perdana Menteri dari koalisi itu.

Artikel Berkaitan:

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 menyaksikan pemimpin dan perwakilan parti menyerang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menyokong usul memutuskan hubungan dengan parti itu dan Perikatan Nasional (PN).

Pasca PAU 2020 menyaksikan berlakunya kemelut dalaman UMNO menerusi fraksi yang menyokong Ahmad Zahid serta fraksi pemimpin UMNO yang memegang jawatan dalam kerajaan PN dan tidak menyokong Presiden parti secara jelas.

Bahkan, Sinar Harian difahamkan terdapat pihak tertentu dalam UMNO cuba menggerakkan usaha menyingkirkan Ahmad Zahid dan mendesak proses pemilihan UMNO diadakan segera.

Ahmad Zaini berkata, dengan kekuatan pengaruh sekurang-kurangnya 70 peratus daripada akar umbi UMNO, peluang Najib untuk kembali mengemudi parti dan seterusnya menjadi calon Perdana Menteri tidak boleh dinafikan.

Lebih penting, Najib tidak pernah meninggalkan perjuangan ketika UMNO tewas dan mampu bangkit daripada pelbagai persepsi negatif yang dilemparkan terhadap beliau.

"Saya percaya Najib ada pengaruh 70 peratus (dalam UMNO), Najib sudah lalui semuanya... Kalau kita nak kata orang lain (dipilih sebagai PM), saya tak nampak siapa lagi kerana dia ada sifat sebagai pemimpin," katanya.

Pandangan Ahmad Zaini disokong penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussein yang mengakui Najib masih mempunyai pengaruh dalaman parti dan sokongan rakyat untuk diangkat sebagai Perdana Menteri buat kali kedua.

Katanya, Najib memang menguasai sokongan ketua-ketua UMNO bahagian dengan majoriti ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sendiri cenderung kepada beliau.

"Perlembagaan UMNO sendiri pun tidak melarang mana-mana ahli parti yang disabitkan kes mahkamah bertanding pada pemilihan parti, selagi mana kes itu belum diputuskan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

"Ada juga kemungkinan Najib akan membuat penampilan semula bagi mempertahankan legasi kepimpinan Zahid yang dibayangi beliau selama ini sekiranya proses pemilihan parti memang tidak dapat dielakkan," katanya.