Calon Permatang Pauh: Wan Azizah serahkan parti buat keputusan

Wan Azizah memotong kek sebagai simbolik perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Keadilan Lembah Pantai pada Ahad.
Wan Azizah memotong kek sebagai simbolik perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Keadilan Lembah Pantai pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Lembaga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan sepenuhnya kepada parti untuk menentukan calon yang akan bertanding di Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Beliau berkata, keputusan itu akan dibuat parti selepas menilai siapa calon yang dirasakan layak memenangi kerusi tersebut.

"Mana-mana yang dicalon, yang mana sesuai kita letakkan dulu untuk kita menang. Itu yang penting," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Keadilan Lembah Pantai di salah sebuah hotel di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada akan bertanding di Parlimen Permatang Pauh bagi mempertahankan legasi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia susulan penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh ketika ini, Nurul Izzah Anwar dikhabarkan akan bertanding di Parlimen Gombak pada PRU15 akan datang.

Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata, parti akan menilai kriteria calon yang dirasakan mampu memberi kemenangan kepada parti.

Justeru katanya, beliau meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada parti untuk memilih calon yang dirasakan sesuai dan mampu memberi kemenangan.

Artikel Berkaitan: