Unit Jenayah Alam Sekitar ditubuh bantu siasatan kes pencemaran

Tuan Ibrahim (kiri) semasa sidang media di Kota Bharu pada Ahad.
Tuan Ibrahim (kiri) semasa sidang media di Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU – Sebuah jawatankuasa khas iaitu Unit Jenayah Alam Sekitar ditubuhkan bagi membantu siasatan melibatkan sisa buangan berjadual yang tidak teratur sehingga boleh menyebabkan pencemaran.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jawatankuasa tersebut turut melibatkan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau mana-mana pihak atau pengilang tidak berlesen yang menyerahkan sisa buangan kepada ejen yang juga tidak berlesen.

“Tindakan ejen haram pelupusan sisa buangan berjadual itu menjadi kesalahan besar kerana menyumbang kepada pencemaran air.

“Di peringkat kementerian, memang kita bagi lesen kepada ejen dan mereka wajib menghantar sisa buangan ke tapak pengurusan kita namun apabila ejen dilantik membuang sisa buangan berkenaan ke lokasi tidak sepatutnya, maka tindakan tegas boleh dikenakan kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai cabutan undi untuk Majlis Cabutan Kerja Undi di bawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar dan Air Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2021di Hotel Grand Riverview di sini pada Ahad.

Hadir sama, Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Datuk Sr Azami Mohd Nor.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar tempatan berkenaan kewujudan ejen haram melibatkan pelupusan sisa buangan berjadual seperti bahan pelarut dan sisa kimia sehingga menyebabkan pencemaran berlaku terutama di kawasan Lembah Klang.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim memberitahu, kementeriannya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak mahupun pengilang yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dengan pencemaran yang berlaku.

Katanya, pihaknya juga sedang mengemas kini dan membuat semakan semula melibatkan Akta Alam Sekitar 1974 bagi mengenakan hukuman lebih berat sehingga RM15 juta.

Artikel Berkaitan:

“Undang-undang sekarang ini mungkin tidak berat, hanya dikenakan kompaun RM2,000. Kita mahu naikkan sehingga RM15 juta selain hukuman mandatori penjara.

“Kena ingat bila berlaku pencemaran, sebagai contoh sungai tercemar, loji terpaksa menutup operator air sehingga menyebabkan pihak kementerian perlu menyediakan lori untuk menghantar bekalan kepada penduduk sepanjang tempoh sistem berkenaan ditutup.

“Kita tidak caj apa-apa sedangkan kita perlu menanggung kos yang tinggi. Jadi, kita mahu mereka yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran air itu menanggung kos kerugian berkenaan,” katanya.