RM89.2 juta untuk pulihara sungai, kurangkan risiko banjir

Tuan Ibrahim (tengah) semasa mencabut undi di Grand Riverview pada Ahad.
Tuan Ibrahim (tengah) semasa mencabut undi di Grand Riverview pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM89.2 juta di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bagi program pemuliharaan sungai untuk mengurangkan risiko banjir di seluruh negara.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, daripada peruntukan tersebut, RM8.225 juta disediakan untuk Projek Pemuliharaan Sungai bagi mengatasi risiko banjir tahun 2021 di Kelantan.

Menurutnya, perolehan kerja akan dilaksanakan secara undian (kerja-kerja kecil dan quick-win) dan tawaran kerja undi pada tahun ini juga dibuat dengan lebih banyak berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 247 kerja di 10 jajahan di Kelantan.

“Hasrat utama kerajaan pada hari ini adalah untuk melihat sektor ekonomi domestik terus digerakkan. Saya percaya melalui kaedah pemilihan secara undian akan dapat memastikan bahawa proses pelantikan kontraktor dapat disempurnakan secara terbuka dan telus.

“Kami akan bertindak tegas dalam perkara ini bagi meminimumkan bilangan projek sakit termasuk menamatkan kontrak atau membuat penyenaraian hitam terhadap kontraktor yang gagal memenuhi syarat yang telah dipersetujui,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Beliau mengetuai cabutan undi untuk Majlis Cabutan Kerja Undi Di Bawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar dan Air Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2021di Hotel Grand Riverview di sini.

Hadir sama, Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Datuk Sr Azami Mohd Nor.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, dua projek utama Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) di Kelantan telah mendapat peruntukan yang melebihi RM1.280 bilion iaitu melibatkan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1 berjumlah RM624 juta dan PLSB Sungai Golok Fasa 1 berjumlah RM656 Juta.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, terdapat projek-projek sambungan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) berbentuk kajian dengan kos projek berjumlah RM8.6 juta yang telah diluluskan dan sedang dalam peringkat pra pelaksanaan.

“Ia melibatkan pembangunan pelan induk Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Melor, Kelantan dan pembangunan pelan Induk Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Buaya Ikat," katanya.

Katanya, terdapat juga projek-projek baharu dalam RMK12 berbentuk pembangunan fizikal dan kajian yang lain dengan jumlah kos projek berjumlah RM27.5 juta.

“Antaranya ialah Projek Pemuliharaan Pantai Airport City dan kajian pelan induk saliran mesra alam bagi tujuh bandar di negeri Kelantan,” katanya.