PKR saman Xavier RM10 juta

Gambar dari kiri: Chean Chung, Dr Xavier Jayakumar
Gambar dari kiri: Chean Chung, Dr Xavier Jayakumar
A
A
A

KUANTAN- Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah mengarahkan peguam menghantar surat tuntutan kepada Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar yang bertindak keluar daripada parti berkenaan pada Isnin.

Bendahari Agungnya, Lee Chean Chung berkata, menerusi surat itu, parti menuntut sebanyak RM10 juta daripada bekas Naib Presidennya itu kerana tindakannya berpaling tadah dan menyokong Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, tuntutan pampasan ini adalah jumlah yang telah dipersetujui mereka kerana berpaling daripada parti termasuk menyalahgunakan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimiliki untuk kepentingan peribadi.

"Surat tuntutan itu akan dihantar kepada Xavier pada esok (Isnin) dan kami tidak ada dua darjat atau double standard.

"Sesiapa yang telah membuat keputusan untuk meninggalkan parti, mereka kena terima akibatnya dan perlu membayar RM10 juta kepada parti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan 2020 Cabang PKR Indera Mahkota di Hotel Mandurah, Pantai Beserah, pada Ahad.

Majlis tersebut telah dirasmikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka, Datuk Abdul Halim Bachik.

Pada 13 Mac lalu, Xavier yang juga bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu mengumumkan peletakan jawatan serta-merta serta menyokong blok kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

ARTIKEL BERKAITAN Xavier umum letak jawatan Naib Presiden PKR, keluar parti

Artikel Berkaitan:

Chean Chung berkata, surat tuntutan itu perlu dijawab oleh Dr Xavier dalam tempoh tujuh hari.

Ditanya mengenai perkembangan terkini saman RM10 juta terhadap Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin, beliau berkata, kedua-kedua pihak sedang dalam proses membalas afidavit berhubung permohonan untuk membatalkan saman terbabit.

"Kes saman ini kita akan lakukan satu persatu dengan memulakan kes Zuraida terlebih dahulu.

"Selepas kes ini selesai, baru kita ikuti dengan kes saman pemimpin yang telah kita serahkan surat tuntutan itu," katanya.