Pegawai Khas Menteri Besar Kedah letak jawatan

Mohd Fadzil (tengah) menunjukkan kenyataan media beliau ketika sidang akhbar di Hotel Seri Malaysia di Alor Setar pada Ahad.
Mohd Fadzil (tengah) menunjukkan kenyataan media beliau ketika sidang akhbar di Hotel Seri Malaysia di Alor Setar pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Pegawai Khas kepada Menteri Besar Kedah, Mohd Fadzil Zolkipli meletakkan jawatannya berkuat kuasa serta-merta pada Ahad selepas seminggu ucapannya di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 tular.

Mohd Fadzil yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Kedah berkata, tindakan itu dibuat untuk menjaga hubungan baik Muafakat Nasional (MN) di Kedah selain enggan isu itu berpanjangan.

Katanya, beliau yakin MN di Kedah masih kuat dan oleh sebab itu beliau nekad mengambil keputusan berkenaan kerana sayangkan MN.

"Saya letak jawatan kerana sayangkan MN. Saya tidak mahu isu ini ibarat 'presiden kes' MN di Kedah dan memperlihatkan seperti MN Kedah ini rapuh dan sedang bergaduh," katanya ketika sidang akhbar di Hotel Seri Malaysia di sini pada Ahad.

Pada 28 Mac lalu, Mohd Fadzil yang berucap sebagai perwakilan Pemuda UMNO didakwa mewujudkan persepsi bahawa pegawai khas daripada UMNO dibuli, dikutuk dan dipertikai oleh pegawai-pegawai khas lain di pejabat Menteri Besar Kedah.

Beliau mendakwa, ia susulan langkah politik diambil UMNO khususnya dalam isu i-Sinar dan moratorium.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bagaimanapun menafikan wujud pilih kasih dalam layanan terhadap pegawai di pejabat Menteri Besar Kedah seperti didakwa.

Sementara itu, Mohd Fadzil memohon supaya tidak ada mana-mana pihak cuba mempolitikkan isu berkenaan demi kecintaan kepada semangat MN.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak menyimpan marah atau dendam kepada sesiapa. Saya juga sangat berbesar hati sekiranya Menteri Besar (Muhammad Sanusi) berhasrat untuk bertemu dengan saya selepas ini kerana sejak isu ini tular kami masih belum besemuka," katanya.

Menjelaskan mengenai inti pati ucapannya ketika PAU di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 29 Mac lalu, Mohd Fadzil berkata, beliau berkata benar.

"Saya ingin menegaskan bahawa penceritaan yang dibawa tersebut adalah benar, bukan rekaan bagi menambah perisa ucapan semata-mata.

"Insiden kritik mengkritik tersebut telah beberapa kali berlaku dengan melibatkan beberapa isu berbangkit; antaranya i-Sinar, moratorium dan sebagainya.

"Biasanya saya menerima kritikan itu dengan terbuka dan memberi penjelasan bagi mana-mana isu berkenaan. Saya tidak mengambil serius pun kritikan berkenaan kerana bersikap 'agree to disagree'," katanya.