Raja Muda Kedah berkenan agih sumbangan fidyah

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin (dua dari kiri) berkenan menyerahkan sumbangan kepada penerima di Masjid Ar Rahman,Kampung Panchor,mukim Derang pada Ahad.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin (dua dari kiri) berkenan menyerahkan sumbangan kepada penerima di Masjid Ar Rahman,Kampung Panchor,mukim Derang pada Ahad.
A
A
A

POKOK SENA - Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Fidyah di Masjid Ar Rahman, Kampung Panchor, mukim Derang di sini pada Ahad.

Majlis agihan zakat kepada 40 penerima berkenaan merupakan simbolik kepada program pengagihan fidyah yang dilaksanakan oleh pihak Baitulmal negeri Kedah tahun ini.

Baitulmal Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) telah berjaya mengagihkan hasil kutipan fidyah sebanyak RM2.32 juta kepada golongan asnaf di seluruh Kedah pada tahun ini.

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Yahaya Jusoh berkata, majlis penyampaian fidyah berkenaan merupakan acara tahunan Baitulmal MAIK dalam menunaikan tanggungjawab diamanahkan mengikut hukum syarak.

"Pihak Baitulmal sentiasa komited dalam usaha untuk membantu masyarakat di Kedah terutamanya dalam agihan bantuan makanan yang amat diperlukan dari masa ke masa walaupun negara berdepan pandemik Covid-19.

"Malah, kita telah berjaya mengagihkan hasil kutipan fidyah tahun ini sebanyak RM2.32 juta dengan kerjasama daripada Pejabat Agama Daerah, imam masjid serta ahli jawatankuasa yang memainkan peranan yang besar," katanya pada Masjid Ar Rahman,Kampung Panchor,mukim Derang di sini pada Ahad.

Menurutnya, kepimpinan Raja Muda sebagai Yang Dipertua MAIK memberikan kekuatan kepada pengurusan dan warga kerja untuk bekerja dengan lebih gigih demi memartabatkan agama Islam khususnya di Kedah.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Baitulmal memperkenalkan sistem E-fidyah dan kalkulator khusus untuk mengira fidyah puasa bagi memudahkan masyarakat menjelaskan kewajipan ini.

Artikel Berkaitan:

"Dengan ini, masyarakat boleh membuat bayaran melalui dalam talian seperti perbankan internet atau secara bersemuka di kaunter Baitulmal atau mana-mana Pejabat Agama Daerah di Negeri Kedah.

"Perolehan kutipan fidyah akan dikumpulkan dalam satu akaun khas dan diagihkan kepada fakir miskin yang berhak menerimanya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) merangkap Setiausaha MAIK, Mohd Yusri Md Daud berkata, fidyah diagihkan ke 578 masjid melibatkan 11,560 penerima di seluruh Kedah.

"Alhamdulillah, kita dapati penggunaan sistem E-fidyah mendapat sambutan, malah kutipan fidyah makin meningkat berbanding sebelum ini," katanya.

Katanya, melalui fidyah, MAIK telah melaksanakan pelbagai program termasuklah bantuan makanan pelajar sekolah dan pemberian khemah untuk peniaga demi membantu mereka yang terkesan akibat Covid-19.

"Untuk pemberian khemah, seramai 60 peniaga di Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Majlis Daerah Padang Terap telah menerima peralatan berkenaan setakat ini," katanya.

Katanya, MAIK merancang memperluaskan pemberian khemah ke kawasan lain dan melaksanakan lagi banyak program agihan baharu untuk membantu mereka memerlukan.