BN rangka manifesto, aku janji baharu depani PRU15

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) sedang merangka manifesto dan aku janji baharu bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah menerima saranan daripada sayap Pemuda dan Puteri UMNO sewaktu perhimpunan agung parti itu baru-baru ini, agar disediakan satu tawaran baharu untuk menarik kembali sokongan rakyat.

“Atas sebab itu saya meminta pasukan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merangka manifesto. Saya juga difahamkan bahawa manifesto itu padat, jelas dan mampu ditunaikan.

“Fokus kami memperbaiki negara dan ekonomi selain mahu memulihkan kadar pengangguran pada tahap yang rendah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Ahad.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Ahmad Zahid memberi jaminan manifesto parti itu tidak akan dipenuhi dengan janji ‘bulan dan bintang’, seperti yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) pada PRU lepas.

Kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, sepanjang 22 bulan pemerintahan PH, beliau mendakwa modal yang digunakan oleh pakatan tersebut tidak lain dan tidak bukan hanyalah fitnah serta janji-janji manis yang tidak mampu untuk dilaksanakan persis lagu nyanyian Aishah berjudul Janji Manismu.

“Bukan setakat 100 hari pemerintahan tetapi tempoh 22 bulan pun mereka tidak mampu menunaikan janji sehinggakan ada yang kata, manifesto bukan kitab suci.

“Kita boleh menilai sendiri apa yang dilakukan PH ketika itu dan pelbagai alasan diberikan kerana tidak mampu menunaikan janji. Walhalnya, sebelum PRU-14 pasukan mereka jugalah yang memasang khemah pengakap di Dataran Merdeka bagi menuntut PTPTN dihapuskan,” katanya

Artikel Berkaitan:

Tambah Ahmad Zahid, bukan sahaja kerajaan PH, malah kerajaan pemerintahan Perikatan Nasional (PN) yang terbentuk selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan juga dilihatnya jelas tidak mempunyai manifesto.

“Maka, tiada hala tuju dan garis panduan yang boleh dilaksanakan. Berbanding Barisan Nasional, gabungan parti terlebih dahulu merangka manifesto.

“Apa yang penting aku janji itu adalah logik dan berkeupayaan untuk ditunaikan kerana BN amat mementingkan kebajikan rakyat, membangunkan negara dan ekonomi,” katanya.

Manifesto dan aku janji. Masihkah kita mengingati manifesto Pakatan Harapan (PH) yang ditawarkan kepada rakyat ketika...

Posted by Zahid Hamidi on Saturday, April 3, 2021