'Tak timbul isu saya menidakkan tugas penguat kuasa'

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong pada Ahad menjelaskan agenda beliau adalah untuk membela nasib rakyat susulan kritikan dibuat ‘Awang Paku Serpih’ terbitan Sinar Harian berhubung isu pemandu lori membawa lebih muatan.

Ka Siong berkata, tidak timbul isu beliau menidakkan tugas pasukan penguat kuasa dalam kementeriannya dan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah berbakti kepada negara tanpa mengira waktu.

“Peranan mereka sentiasa saya hargai setiap masa. Saya bukan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang sering mempersoalkan peranan penjawat awam sehingga tergamak mengurangkan kewujudan mereka dalam pentadbiran kerajaan,” katanya menerusi satu tulisan di Facebooknya pada Ahad.

‘Awang Paku Serpih’ pada Sabtu mengkritik tindakan Ka Siong yang meminta pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya ‘berlembut’ dengan pemandu lori yang membawa lebih muatan.

Ka Siong dilapor mahu JPJ mengkaji semula saman yang dikeluarkan kepada pemandu lori yang disaman itu ekoran seorang pemandu lori yang lesennya disenarai hitam disebabkan majikannya tidak mahu membayar saman pemandu berkenaan.

Menerusi tulisannya, Ka Siong mempersoalkan apa salahnya yang meminta JPJ dan Agensi Pengangkutan Darat (APAD) mengkaji semula tindakan saman yang hanya dikeluarkan kepada pemandu dan bukannya majikan.

“Jawapan awal yang saya peroleh ialah memang di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 atau Akta 715 ketika Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) masih wujud mempunyai Bahagian Penguat kuasa, mereka turut menguatkuasakan Akta 715 untuk mengeluarkan saman kepada majikan.

“Tapi disebabkan perlu menyediakan kertas siasatan, maka saman yang dikeluarkan kepada pemandu dilihat lebih mudah dan habis cerita.

Artikel Berkaitan:

“Persoalannya ialah, apakah kerana leceh atau rumit maka ia mengakibatkan pemandu disaman dan disenarai hitamkan sehingga lesen tidak dapat diperbaharui? Inikah keadilan sejagat?” soalnya.

Beliau turut meminta orang ramai bersabar kerana telah meminta JPJ yang kini mengambil alih kuasa SPAD untuk tujuan penguatkuasaan Akta 715 dan APAD meneliti semula tindakan dibuat sebelum ini.

“Jika perlu membuat prosedur operasi standard (SOP) baharu untuk penguatkuasaan terhadap kenderaan lebih muatan.

“Untuk kes lebih muatan, siapa yang lebih beruntung? Pastinya majikan. Dalam kes ini, bukankah lebih adil meletakkan bebanan tanggungjawab terhadap pengendali atau majikan dan bukan pemandu?” katanya.

Menurutnya, disebabkan itu beliau meminta Ketua Pengarah APAD, Azlan Shah Al Bakri berbincang dengan JPJ dan PDRM untuk penyelesaian lebih adil dan saksama.

“Kalau pemandu memandu melebihi had laju, memandu dengan merbahaya atau memotong kenderaan di garisan berkembar, saya setuju 100 peratus agar pemandu berkenaan harus diambil tindakan tegas oleh JPJ atau polis. Tiada maaf bagimu.

“Tetapi bagi kes lebih muatan, adalah kurang wajar jika pemandu dikenakan tindakan, bukannya majikan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai dan pemandu segera melaporkan perkara seperti itu kepada pihaknya.

“Saya amat mengalu-alukan sekiranya ada pemberi yang ingin memberi maklumat berhubung perkara sebegini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Apa agenda Wee Ka Siong?