Imunisel bantu luas capaian pendaftaran vaksin Covid-19

Amirudin (tiga dari kanan) bersama Dr Dzulkefly (kanan) dan Dr Siti Mariah (dua dari kanan) pada program pelancaran Program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (Imunisel) di Dataran Puchong Permai, pada Ahad.
Amirudin (tiga dari kanan) bersama Dr Dzulkefly (kanan) dan Dr Siti Mariah (dua dari kanan) pada program pelancaran Program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (Imunisel) di Dataran Puchong Permai, pada Ahad.
A
A
A

PUCHONG - Kerajaan negeri melancarkan Program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (Imunisel) dalam usaha bagi meluaskan capaian untuk pendaftaran vaksin Covid-19.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Imunisel merupakan sistem yang akan digerakkan oleh pemimpin tempatan antaranya Pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan parlimen, ahli majlis, ketua kampung atau wakil penduduk di negeri ini untuk membantu setiap pihak berkelayakan untuk mendaftar bagi pengambilan vaksin tersebut.

Beliau berkata, usaha ini merupakan antara beberapa program yang diatur dan disusun oleh kerajaan negeri bagi menangani pandemik Covid-19 di Selangor.

"Kita adalah antara negeri yang mempunyai pelan dan perancangan strategik sendiri untuk melawan Covid-19 dan ini merupakan salah satu usaha yang dilaksanakan oleh Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC)," katanya pada sidang media selepas pelancaran program berkenaan yang berlangsung di Dataran Puchong Permai, pada Ahad.

Hadir sama bagi menyaksikan pelancaran Prgram Imunisel itu adalah Pengerusi STFC, Datuk Seri Dr Dzulkefly dan Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita & Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud,

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai Imunisel, Dr Siti Mariah berkata, program itu berperanan bagi membantu golongan yang tidak mempunyai akses kepada telefon pintar untuk mendaftar bagi pengambilan vaksin Covid-19.

"Menurut data Jabatan Perangkaan pada 2019, sekitar 37 peratus isi rumah di Selangor tidak mempunyai capaian kepada telefon pintar dan disebabkan itulah program ini diwujudkan.

"Melalui program ini, kita membantu golongan ini untuk mendaftar bagi pengambilan vaksin secara manual melalui kaunter-kaunter dan juga kad Imunisel yang kita sediakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketika mengulas mengenai perkembangan kes Covid-19 di Selangor, Dr Dzulkefly melalui ucapannya berkata, STFC akan terus komited melaksanakan program saringan bagi melindungi komuniti dan juga masyarakat.

Beliau berkata, STFC tidak khuatir untuk melaksanakan saringan itu walaupun jumlah kes harian Covid-19 di negeri ini masih tinggi.

"Sebelum ini juga, saya sudah mengesyorkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar tidak menguar-guakan jumlah kes harian kepada umum kerana apa yang mustahak rakyat tahu adalah kadar kes," katanya.