Bersatu lantik 12 wakil dalam jawatankuasa rangka strategi PRU15

Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melantik 12 orang wakil diketuai oleh Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Jawatankuasa Permesyuaratan Bersatu-Pas di peringkat pusat.

Ia bagi merangka strategi kedua-dua parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) pada Sabtu turut memutuskan untuk menyegerakan pelantikan ketua bahagian ahli bersekutu dalam masa terdekat bagi memperkasa dan meningkatkan lagi penglibatan ahli-ahli bersekutu Bersatu di seluruh negara.

Beliau berkata, parti itu komited untuk terus memperkukuhkan kerjasama antara parti-parti anggota Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Gerakan.

“Dalam masa sama, Bersatu juga bersiap sedia untuk membantu rakan politik lain seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang setia menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri khususnya dalam menghadapi Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak akan datang,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Selain itu, Hamzah berkata, Bersatu mengiktiraf peranan serta penglibatan aktif anak muda dalam bidang politik dan aktiviti kemasyarakatan.

“Sehubungan itu, Bersatu menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyegerakan pelaksanaan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 berhubung kelayakan mengundi pada usia 18 tahun,” tegas beliau.

Hamzah berkata, Bersatu beriltizam untuk terus fokus dan meningkatkan gerak kerja parti di setiap peringkat dalam usaha untuk membantu rakyat Malaysia yang masih terkesan akibat penularan pandemik Covid-19 dalam negara dan situasi ekonomi global yang mencabar.

Artikel Berkaitan:

Minggu lalu, Barisan Nasional (BN) memutuskan akan menghadapi PRU15 secara bersendirian.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan itu seharusnya bersiap siaga bagi menghadapi pilihan raya itu nanti.