Taiping dijangka diisytihar bebas rabies 2022

Dr Ahmad Shafri (kanan) ketika sidang akhbar bersama Razman mengenai Program Pemvaksinan Anti Rabies 2021 Daerah Larut Matang dan Selama di depan pasar raya The Store Kamunting, di sini pada Ahad.
Dr Ahmad Shafri (kanan) ketika sidang akhbar bersama Razman mengenai Program Pemvaksinan Anti Rabies 2021 Daerah Larut Matang dan Selama di depan pasar raya The Store Kamunting, di sini pada Ahad.
A
A
A

TAIPING - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak sedang mempergiat usaha vaksinasi rabies di kawasan Taiping dan Bukit Gantang bagi memastikan kawasan itu dapat diisytihar bebas dari penyakit rabies pada 10 Januari 2021.

Pengarahnya, Dr Ahmad Shafri Hassan berkata, sepatutnya pengisytiharan kawasan itu bebas penyakit rabies pada Januari tahun ini namun aktiviti vaksinasi rabies tertangguh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut beliau, kes terakhir dilaporkan positif rabies di dalam kawasan yang diwartakan wabak rabies berlaku pada 10 Januari 2019 dan selepas tempoh itu tiada sebarang kes baharu dikesan sehingga hari ini.

"Mengikut ketetapan Badan Kesihatan Haiwan Antarabangsa (OIE), kawasan yang diisytiharkan wabak hendaklah melaksanakan program kawalan rabies seperti pemvaksinan dan kempen kesedaran sehingga kawasan tersebut tiada kes baharu selama dua tahun dari tarikh terakhir kes dilaporkan.

"Di kawasan Taiping dan Bukit Gantang ini kita belum tarik balik pewartaan kawalan penyakit rabies sejak tahun 2019. Sepatutnya awal Januari tahun ini kita boleh diisytiharkan bebas tetapi program pemvaksinan sedikit terganggu disebabkan PKP jadi kita tidak mencapai status liputan vaksinasi yang sepatutnya," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar Program Pemvaksinan Anti Rabies 2021 Daerah Larut Matang dan Selama di depan pasar raya The Store Kamunting, di sini pada Ahad.

Hadir sama Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria.

Dalam perkembangan sama, Dr Ahmad Shafri berkata, setakat ini, program pemvaksinan tersebut sudah mencapai 94 peratus daripada operasi yang dibuat di sekitar kawasan yang terlibat.

Katanya, sebanyak 1,592 ekor anjing telah divaksin daripada 1,692 ekor anjing yang telah dibanci sekali gus melepasi 80 peratus ditetapkan OIE.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, JPV kini dalam usaha memastikan tiada lagi kes baharu dilaporkan menerusi program pemvaksinan dari rumah ke rumah dan di dua lokasi secara pandu lalu iaitu di depan pasar raya The Store Kamunting serta Taman Kamunting Timur, di sini.

Sementara itu, Dr Ahmad Shafri berkata, JPV Perak juga masih meneruskan program pemvaksinan rabies di kawasan Pengkalan Hulu yang bersempadan dengan Thailand memandangkan negara jiran itu masih belum bebas penyakit rabies.

"Kawasan Pengkalan Hulu ini memang bersempadan dengan Thailand. Kita sentiasa memantau dan kawasan sempadan ini kita wajibkan pengambilan suntikan vaksin anjing-anjing di kawasan Pengkalan Hulu untuk bendung jika ada anjing positif dari negara jiran, ia tak jangkit anjing negara kita. Memang setiap tahun kita buat.

"Kita juga menjalankan pemantauan di kawasan perairan dengan meminta kerjasama penduduk dan nelayan tempatan kalau ada nelayan asing yang bawa anjing, lapor kepada kita untuk kita ambil tindakan segera," katanya.

Beliau berkata, bagi operasi di sempadan Pengkalan Hulu-Thailand, pihaknya mendapat kerjasama daripada Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) untuk memantau kemasukan anjing liar di sempadan.