Tajuddin tak tahu kemudi jentera PRU: Muqharabbin

Muhamad Muqharabbin
Muhamad Muqharabbin
A
A
A

SHAH ALAM - Exco Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin meminta agar Pengarah Pilihan Raya (PRU) Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ditukar segera.

Beliau mendakwa, Tajuddin tidak tahu langsung mengemudi gerakan jentera PRU sebaliknya memecah belahkan jentera-jentera di bahagian.

“Semasa beliau ke Lembah Pantai dan Parlimen Tangga Batu, kenyataan-kenyataan beliau bukan ke arah strategi parti, sebaliknya hanya banyak sembang kosong dan tidak membantu jentera parti,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Muhamad Muqharabbin yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai berkata, beliau mendapat banyak maklum balas negatif daripada rakyat berkenaan BN.

“Ya, ramai yang rindukan BN, tapi mereka tidak suka dengan perangai dan muka-muka pemimpin yang lama.

“Bukan mereka tidak berjasa tetapi rakyat mahu BN menampilkan calon-calon baharu yang lebih wibawa demi kemenangan PRU15,” katanya.

Muhamad Muqharabbin turut menyeru Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar berani menampilkan muka-muka baharu pada PRU15.

“Sekiranya rakyat minta poster perdana menteri kita bukan presiden sendiri, saya yakin Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi begitu berjiwa besar untuk memilih sesiapa sahaja demi UMNO dan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Saya percaya sekiranya Presiden berani melakukan hal ini, beliaulah akan menjadi punca kejayaan BN untuk PRU15 dan akan diangkat sebagai wira sebenar UMNO sepanjang zaman,” katanya.