Kedatangan pelancong ke PD meningkat 80 peratus

Aminuddin (tengah) memasak gulai daging salai sebagai simbolik pelancaran MAH Negeri Sembilan Food Festival 2021 sempena Ramadan di Hotel Thistle & Resort pada malam Sabtu.
Aminuddin (tengah) memasak gulai daging salai sebagai simbolik pelancaran MAH Negeri Sembilan Food Festival 2021 sempena Ramadan di Hotel Thistle & Resort pada malam Sabtu.
A
A
A

PORT DICKSON – Kedatangan pelancong ke Port Dickson mencatatkan peningkatan sehingga 80 peratus, sejak Negeri Sembilan, kecuali Seremban berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, peningkatan tersebut dapat membantu menaikkan semula industri pelancongan di negeri ini.

“Saya dimaklumkan bahawa pada hujung minggu kedatangan pelancong meningkat sebanyak 80 peratus, dan pihak hotel mula menerima banyak tempahan daripada pengunjung tempatan walaupun berada dalam tempoh PKPP ketika ini.

“Saya yakin sekiranya rentas negeri dibuka kepada semua kelak, berkemungkinan kedatangan pengunjung ke Port Dickson akan mencapai 100 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Persatuan Hotel -Hotel (MAH) Negeri Sembilan Food Festival 2021 sempena Ramadan di Hotel Thistle & Resort pada malam Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan.

Pada tahun ini, sebanyak 20 hotel dan 50 produk pelancongan di negeri ini terlibat dalam ‘MAH Negeri Sembilan Food Festival 2021’ sempena Ramadan yang akan bermula pada 14 April.

Artikel Berkaitan:

Aminuddin (kiri) merasa rendang di salah satu gerai hotel yang terlibat bufet Ramadan.
Aminuddin (kiri) merasa rendang di salah satu gerai hotel yang terlibat bufet Ramadan.

Menurut Haziz, menerusi program itu, semua pengusaha hotel yang berdaftar dengan MAH akan menganjurkan bufet Ramadan selama sebulan.

Katanya, setiap pengusaha hotel telah diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), bagi mengekang penularan Covid-19.

"Pengunjung tidak perlu bimbang, setiap hotel yang menganjurkan bufet Ramadan tahun ini akan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Meskipun bilangan meja terpaksa dikurangkan berikutan penjarakan antara meja perlu berada dalam satu meter, namun kemeriahan Ramadan dan berbuka puasa, pasti akan diraikan dengan suasana norma baharu," katanya.

Sementara itu, pengusaha Hotel Tasik Villa & Resort, Jofhua Yeong berkata, jika tahun lalu bufet Ramadan tidak dibenarkan, tetapi pada kali ini industri hotel kembali 'bernafas'.

Katanya, program bufet Ramadan itu diharap menjadi permulaan kepada program-program lain yang boleh membantu mengembalikan kemeriahan industri pelancongan di negeri ini.