X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia mampu keluarkan vaksin

Gambar kanan: Hazami Habib
A
A

MALAYSIA hanya akan bebas daripada pandemik Covid-19 sekiranya 80 peratus daripada rakyat di negara ini telah mengambil vaksin.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Sains Malaysia, Hazami Habib, rakyat tidak perlu bimbang kerana vaksin tersebut telah melalui ujian percubaan klinikal serta penilaian dan saringan yang ketat di peringkat global.

Menurut beliau, walaupun Malaysia belum ada fasiliti untuk menghasilkan vaksin buat masa ini, namun pelan Roadmap Pembangunan Vaksin Negara memungkinkan Malaysia mengeluarkan vaksin buatan tempatan bagi menangani kemunculan pelbagai virus baharu pada masa depan.

Ikuti kupasan 360 darjah mengenai vaksin dalam wanwancara Sinar Ahad bersama Hazami yang dikendalikan Penolong Pengarang Pengisian Berita, Junhairi Alyasa baru-baru ini.

SINAR AHAD: Bagaimanakah sesuatu vaksin berfungsi dan apakah kepentingan imunisasi kepada masyarakat?

HAZAMI: Vaksin merangsang sistem daya lawan jangkitan tubuh dan membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit yang khusus. Ia penting untuk membendung penularan penyakit dalam komuniti secara keseluruhannya.

Sejak awal 1950-an, vaksin diberikan melalui Program Imunisasi Kebangsaan bagi melindungi rakyat daripada penyakit cegahan vaksin.

Sehingga kini, terdapat 11 jenis vaksin bagi mencegah 13 jenis penyakit yang diberikan kepada kanak-kanak iaitu tuberkulosis, hepatitis B, difteria, tetanus, batuk kokol, polio, Haemophilus influenza jenis B, demam campak, rubela, beguk, pneumokokal, Japanese Encephalitis atau JE dan Human papillomavirus. Selain itu, vaksin meningokokus diwajibkan untuk melindungi semua jemaah haji dan umrah Malaysia.

Bagaimanakah vaksin Covid-19 dapat dihasilkan dengan begitu cepat iaitu dalam tempoh beberapa bulan sahaja berbanding 10 hingga 15 tahun untuk vaksin lain sebelum ini?

Pertama kali dalam sejarah dunia, pembangunan vaksin dapat dipercepatkan menerusi pelaburan besar-besaran di peringkat global oleh pelbagai pihak sama ada menerusi negara, badan dunia, syarikat farmaseutikal serta individu.

Kepesatan pembangunan vaksin ini juga adalah hasil daripada kajian-kajian terdahulu mengenai patogen-patogen yang pernah mencetuskan pandemik, epidemik dan endemik seperti virus Nipah, SARS dan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS).

Usaha pembangunan vaksin Covid-19 dimulakan secara intensif sejurus selepas kod genetik virus dikongsikan oleh penyelidik dari China pada Januari 2020.

Boleh terangkan garis masa perolehan vaksin di Malaysia?

Dari April 2020, rundingan dan diplomasi sains mula dijalankan dengan negara-negara dan syarikat pengeluar vaksin di China, Amerika Syarikat, Rusia dan United Kingdom serta badan gabungan imunisasi kesihatan dunia.

Usaha ini digerakkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia; Kementerian Luar; dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.Rundingan secara multilateral turut dijalankan bersama Fasiliti Covid-19 Vaccine Global Access (Covax) dan Coalition for Epidemic Preparedness Innovation (CEPI) bagi menjamin akses dan bekalan vaksin untuk negara.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Kesihatan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ditubuhkan pada 14 Oktober 2020 untuk memastikan akses bekalan vaksin Covid-19 kepada negara.

Bermula Disember 2020, penilaian terhadap vaksin untuk negara dijalankan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah. Melalui usaha rundingan dan diplomasi sains, lima vaksin telah diperoleh iaitu Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, CanSinoBio dan Sputnik V.

Sejauh manakah keberkesanan vaksin yang Malaysia beli?

Vaksin terbukti sebagai kaedah terbaik untuk mengawal wabak. Vaksin Covid-19 merangsang sistem imun supaya jika kita terdedah kepada koronavirus SARS-CoV-2, badan kita boleh bertindak balas terhadap jangkitan Covid-19.

Pelbagai platform seperti jujukan genetic RNA, viral vektor, virus nyahaktif dan sub-unit protein telah digunakan untuk menyediakan vaksin koronavirus yang selamat dan berkesan. Ia memberikan kita perlindungan terbaik terhadap Covid-19.

Negara yang telah memulakan vaksinasi Covid-19 telah menunjukkan kesan positif dalam penurunan kes baru Covid-19 di negara masing-masing.

Sebagai contoh, sebuah negara yang telah menjalankan vaksinasi kepada 600,000 penduduk telah melaporkan keberkesanan vaksinasi yang menunjukkan 94 peratus penurunan jangkitan Covid-19.

Apakah jenis-jenis vaksin? Bagaimanakah tahap keselamatan dan keberkesanannya dinilai?

Untuk Malaysia, jenis vaksin menggunakan molekul mRNA bagi merangsang sistem imuniti agar mengenali protein pada virus yang disasarkan. Pfzer/BioNTech merupakan vaksin jenis mRNA.

Vektor virus pula menggunakan virus pembawa (vektor) yang tidak berbahaya bagi menyampaikan bahan genetik virus sasaran supaya merangsangkan tindak balas imun manusia. AstraZeneca, CanSino Biologics dan Sputnik V merupakan vaksin jenis vektor virus.

Sementara virus nyahaktif ialah virus yang telah dimatikan dan digunakan untuk merangsang tindak balas imun manusia. Sinovac merupakan vaksin jenis virus nyahaktif.

Keberkesanan, atau seberapa baik vaksin berfungsi dilihat melalui keupayaannya untuk melindungi individu daripada simptom penyakit Covid-19 melalui vaksinasi.

Peratus keberkesanan berbeza mengikut cara kajian klinikal dijalankan, jenis vaksin, risiko penyakit pada sukarelawan dan pelbagai faktor lain.

Walaupun peratus keberkesanannya berbeza, namun 50 peratus merupakan tahap minimum keberkesanan vaksin Covid-19 yang ditetapkan oleh WHO. Semua vaksin yang diluluskan oleh NPRA adalah selamat dan berkesan untuk digunakan di Malaysia.

Apakah yang boleh rakyat jangkakan selepas perlindungan yang dikehendaki ini dapat dicapai? Adakah rakyat boleh kembali kepada “norma lama” dan meneruskan kehidupan seperti biasa tanpa bimbang dijangkiti virus Covid-19?

Dengan perlindungan imuniti daripada vaksin Covid-19, ekonomi negara akan kembali pulih dan kehidupan rakyat menjadi lebih baik.

Namun begitu, masyarakat perlu terus memainkan peranan dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengurangkan risiko jangkitan sehingga hasil positif daripada Program Imunisasi ini berjaya membendung dan seterusnya menghapuskan pandemik ini.

Walaupun setelah berakhirnya pandemik di dalam negara, norma baru yang baik dan berguna seperti peningkatan penggunaan teknologi dalam urusan harian, pekerjaan dan aktiviti keusahawanan amatlah digalakkan untuk diteruskan.

Tagline ‘Lindung Diri, Lindung Semua’... tapi kita tahu pengambilan vaksin ini secara sukarela tanpa ada tindakan dikenakan kepada mereka yang menolak vaksin. Adakah kerajaan perlu mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19?

Setakat ini, pemberian vaksin Covid-19 adalah secara sukarela tetapi ia sangat digalakkan bagi membolehkan sasaran pembentukan imuniti kelompok dapat dicapai. Ia akan dikaji dan dipertimbang dari masa ke masa oleh pihak kerajaan mengikut keperluan.

Apa yang Malaysia boleh pelajari daripada negara-negara yang telah melakukan program vaksinasi Covid-19? Melalui program imunisasi yang telah dijalankan oleh negara-negara lain, Malaysia dapat mempelajari perancangan strategik bagi pelaksanaan Program Imunisasi di dalam negara daripada penentuan kumpulan sasar dan fasa pemberian vaksin, penyediaan pusat simpanan vaksin (PSV) dan pusat pemberian vaksin (PPV), urusan logistik dan penyimpanan vaksin, pelaksanaan imunisasi sehingga pemantauan dan cara menangani kesan sampingan.

Contohnya, prosedur antarabangsa yang menetapkan pemerhatian antara 15 sehingga 30 minit sebaik sahaja individu menerima suntikan vaksin bagi memantau kesan sampingan turut dipertimbangkan dan diguna pakai bagi prosedur pemberian vaksin Covid-19 di dalam negara.

Ruangan khas di PPV disediakan supaya pemerhatian kepada setiap penerima vaksin dalam dijalankan dalam masa 30 minit sejurus disuntik vaksin.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara tidak langsung menunjukkan kejayaan Malaysia dalam melaksanakan diplomasi sains bagi menjamin akses bekalan vaksin.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula 24 Februari lalu menyasarkan 80 peratus rakyat Malaysia diberi suntikan sekaligus mengakhiri penularan wabak di negara ini.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula 24 Februari lalu menyasarkan 80 peratus rakyat Malaysia diberi suntikan sekaligus mengakhiri penularan wabak di negara ini.

Sejauh manakah perkongsian ilmu, kepakaran dan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi ini mampu memajukan industri vaksin negara kita?

Buat masa ini, Malaysia tidak mempunyai kapasiti serta fasiliti lengkap bagi pembuatan vaksin. Justeru, Malaysia perlu mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh negara lain.

Dalam rundingan pembelian vaksin Covid-19, kerajaan telah memasukkan elemen nilai tambah bagi membolehkan Malaysia membangunkan kapasiti pembangunan vaksin dalam negara.

Sebagai contoh, kerajaan Malaysia telah menandatangani dokumen Terms Sheet bersama syarikat Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd dan Solution Biologics Sdn Bhd bagi mengilangkan vaksin Covid-19 secara fill and finish, iaitu proses akhir pengisian vaksin ke dalam bebuli (vial) sebelum ia diedarkan.

Menerusi langkah ini, vaksin Sinovac dan CanSinoBio akan dibeli secara pukal dan proses pengilangan akan dilaksanakan di Malaysia yang seterusnya mempercepatkan penerimaan vaksin.

Kerajaan juga sedang berunding dengan pemerintah Rusia untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan dan penghasilan vaksin Sputnik V di Malaysia bagi menambah jumlah dos vaksin Covid-19 yang boleh digunakan di Malaysia dan serantau.

Kerajaan juga telah menandatangani perjanjian pelaburan bilateral dengan Coalition for Epidemic Preparedness Innovation (CEPI) bagi membolehkan Malaysia mendapat akses kepada R&D vaksin, pemindahan teknologi dan kepakaran baharu kepada penyelidik tempatan.

MOSTI juga telah membiayai R&D vaksin tempatan bagi penyakit Covid-19 menerusi Dana Menangani Covid-19 MOSTI atau MCCOF kepada dua kumpulan penyelidik iaitu daripada Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia.

Malaysia juga menjadi negara pertama di luar China untuk kajian calon vaksin inactivated Covid-19 buatan Institut Perubatan Biologi China yang melibatkan 3,000 orang sukarelawan.

Memandangkan Malaysia dan dunia berisiko terdedah kepada pandemik lain pada masa hadapan, kerajaan melalui Majlis Sains Negara dalam mesyuarat pada Julai 2020 telah bersetuju agar Roadmap Pembangunan Vaksin Negara dibentuk sebagai pelan jangka masa panjang untuk Malaysia mengeluarkan vaksin buatan tempatan.

Bilakah Malaysia mampu menghasilkan vaksinnya sendiri?

Kerajaan melalui Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 yang dilancarkan pada Disember 2020 juga telah menyertakan perancangan mengenai penubuhan Pusat Vaksin Negara yang akan membangunkan kapasiti negara untuk menghasilkan vaksin sendiri pada masa depan.

NVC bertujuan membangunkan dan menyokong ekosistem keselamatan kesihatan kebangsaan melalui platform kolaborasi strategik tempatan dan antarabangsa yang menawarkan penyelesaian teknikal dan infrastruktur bagi pembangunan vaksin manusia dan haiwan.

Ekosistem ini merangkumi pengurusan arahan dan kawalan, epidemiologi dan analisis data, R&D, kesihatan awam dan penjagaan kesihatan serta kesejahteraan minda.

Kerjasama serantau dan global juga akan dilaksanakan dengan menggunakan kaedah perkongsian infrastruktur, pembangunan kepakaran, penyelidikan dan pemindahan teknologi berkaitan yang bermanfaat kepada negara dalam menghadapi cabaran pengurusan kesihatan dan wabak penyakit pada masa hadapan. Pembangunan pusat vaksin ini akan dilaksanakan dengan Kerjasama KKM.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!