X

Kindly register in order to view this article
!

Gandingan ulama, umara

A
A

PERKARA 39 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak pada Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri tetapi Parlimen boleh melalui undang-undang memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.

Berdasarkan Perkara 39 di atas, umara sebenar dalam negara kita ialah Yang di-Pertuan Agong, manakala Jemaah Menteri membantu Yang di-Pertuan Agong menjalankan tanggungjawab berperlembagaan Seri Paduka Baginda melalui tindakan Jemaah Menteri.

Yang di-Pertuan Agong di peringkat persekutuan (Raja-Raja Melayu di peringkat negeri) bersama-sama Jemaah Menteri peringkat persekutuan (exco kerajaan di peringkat negeri) dan pentadbir lain merupakan umara dalam sistem perundangan negara.

Peranan alim ulama tidak harus dikesampingkan kerana merekalah yang akan menasihati umara agar tidak tergelincir dari landasan sebenar iaitu Hukum Syarak.

Di setiap negeri terdapat peruntukan menyatakan Majlis Agama Islam hendaklah membantu dan menasihati sultan berkenaan dengan semua perkara berhubungan dengan agama Islam, manakala mufti hendaklah membantu dan menasihati Sultan dengan semua perkara Hukum Syarak dan pentadbiran keadilan dalam Islam pula dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah.

Jelaslah peranan alim ulama sangat penting dalam segala aspek berkaitan agama Islam itu sendiri sama ada di peringkat negeri atau persekutuan. Alim ulama dan pemimpin bagai aur dengan tebing, saling lengkap melengkapi, bukan bersaing sesama mereka.

Di peringkat legislatif persekutuan, sudah pasti ramai tahu terdapat dua dewan yang menguruskan penggubalan undang-undang iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Di peringkat negeri pula terdapat Dewan Undangan Negeri dan Dewan Diraja.

Keanggotaan dewan ini berbeza iaitu dalam kalangan yang dipilih berdasarkan populariti undi dan dilantik berdasarkan status penghormatan dalam masyarakat keilmuan dan jasa seseorang.

Namun, sejak akhir-akhir ini kedua-dua dewan di peringkat persekutuan dimonopoli oleh individu daripada kalangan parti siasah sahaja. Ia menjadi wadah bagi meletakkan politikus yang tidak bertanding pada pilihan raya atau mereka yang tewas pada pilihan raya.

Pada pandangan saya, keahlian Dewan Negara seharusnya dilantik dalam kalangan ilmuan, pemimpin NGO, individu dihormati masyarakat, pemimpin berwibawa dan beragama serta mereka yang tidak terlibat dalam politik kepartian termasuklah alim ulama.

Peranan

Bagi merealisasikan kerjasama antara ulama dan umara, peranan yang lebih besar harus diberikan kepada ulama agar dapat memberi sumbangan penting kepada negara. Ulama juga perlu berprinsip melihat sesuatu perkara itu berdasarkan waqi’ yang ada dalam negara kita dan tidak terikat sepenuhnya dengan pandangan ulama silam secara total.

Bukanlah saya mengatakan ulama silam silap dalam takulan mereka mengenai suatu hukum tetapi mungkin pandangan mereka sesuai pada zaman mereka kerana perubahan persekitaran kita ini menuntut perubahan hukum itu sendiri bagi masyarakat hari ini.

Peranan ulama dan umara perlu dilaksanakan sebaiknya bagi memimpin rakyat ke arah lebih cemerlang.

Umara memimpin ulama memastikan keutuhan aqidah terpelihara dalam pimpinan tersebut.

Pertautan tiga elemen penting sesebuah negara iaitu ulama, umara dan rakyat itu sendiri sangat penting bagi kesejahteraan negara. Sekiranya ulama dan umara bergandingan, maka rakyat juga yang akan menikmati kecemerlangan negara.

Walaupun pada zaman Rasulullah SAW, istilah ulama dan umara disatukan kerana Rasullullah SAW tidak memimpin secara terjuzuk seperti keadaan sekarang tetapi realiti semasa yang memerlukan kalangan ulama dan umara bersesama dalam membangun negara.

Jika zaman Rasulullah SAW, baginda merupakan sumber rujukan hal ehwal negara dan agama, tetapi ketika ini kita memerlukan ulama dan umara sama-sama bergandingan memajukan negara.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!