Akar umbi kuasa sebenar

No Image Caption
A
A
A

KEBELAKANGAN ini banyak diperkatakan mengenai suara akar umbi. Ketiadaan mereka boleh menyebabkan parti tidak ke mana-mana.

Mereka menyumbang kepada pergerakan dalaman dan luaran struktur serta institusi politik.

Suara akar umbi akan kerap muncul bila pemimpin atau parti berada di persimpangan krisis, konflik dan masalah meruncing.

Siapakah ‘akar umbi’ ini? Apakah peranan mereka? Sesiapa pun tidak boleh mengetepikan kedudukan mereka kerana pengaruh dan kuasa yang ada pada mereka.

Kini muncul kata-kata ‘jangan ketepikan suara akar umbi’ atau ‘keputusan ini adalah dari akar umbi’.

Benarkah kebanyakan keputusan, tindakan dan kenyataan mengambil kira kepentingan mereka?

Jika benar, mengapakah wujud desakan berterusan untuk meneliti semula keputusan yang dibuat?

Adakah pemilihan sokongan dibuat mengikut keselesaan sendiri dan tidak menyeluruh? Itu antara suara yang kedengaran.

Artikel Berkaitan:

Pemimpin akar umbi adalah golongan atau kelompok paling dekat dengan rakyat.

Mereka menjadi ‘penghubung’ antara pemimpin atasan, bawahan dan isu masyarakat. Akar umbi menjadi denyut nadi kepada gerakan, intervensi dan strategi parti politik.

Pada pilihan raya atau pemilihan parti, yang menjadi jentera dan merencanakan apa sahaja perancangan adalah ‘akar umbi’.

Sering apabila pemimpin luar datang, mereka akan diminta memahami ‘lokaliti’ terlebih dahulu jika mahu membantu, bukannya membandingkan dengan kawasan mereka.

‘Sokong bawa rebah’ boleh berlaku jika akar umbi dibelakangkan kerana suara mereka amat digeruni di mana-mana kawasan sekalipun.

Adakala suara akar umbi tidak sama. Ia berubah-ubah mengikut jalur pemimpin dan parti.

Ada juga yang melakukan cah keting, sabotaj dalaman atau ‘gunting dalam lipatan’ sekiranya tindakan dan keputusan kepimpinan memberi cerminan berbeza dengan pendirian kepimpinan tempatan.

Perubahan

Kesedaran dalam kalangan akar umbi banyak membantu sama ada membawa perubahan atau kesinambungan.

Aspirasi dan harapan suara ini adalah suara keramat.

Tanpa mereka, lumpuh jentera, ibarat rumah tanpa dinding dan bumbung. Mereka membina kekuatan kepada penghuni rumah tersebut. Kekuatan adalah berasaskan kepada keazaman berkiblatkan ideologi yang memayungi mereka beserta dengan pengalaman dan pengajaran.

Hatta, jangan sesekali pinggirkan ‘suara’ mereka yang ikhlas dan jujur untuk masa depan parti.

Mereka tiada pangkat atau jawatan tetapi ‘sayang’ yang sentiasa bersedia mempertahankan fahaman yang didokong untuk menjadi ‘orang parti’ dan bukan ‘ahli parti’. Kesetiaan adalah kepada parti.

Walau apa berlaku kepada parti, mereka akan menegakkan panji perjuangan.

Pemimpin angkuh ditentang dan pernah ‘diajar’ melalui mekanisme pemilihan parti atau pilihan raya. Maruah akar umbi tidak akan digadai.

Politik akar umbi jangan diperlekehkan hanya kerana kita ada kuasa, pangkat dan kedudukan. Ia hanya sementara.

Sebaik sahaja kita sudah tidak memegang sebarang jawatan, pemimpin akan tahu siapa sekutu atau seteru.

Jangan kerana kita berada di atas, kita mempermainkan emosi dan pemikiran akar umbi.Tunjang kepada ikatan bersama adalah kemampuan untuk menyediakan fasiliti yang ampuh, teguh dan kukuh. Kini, ia perlu kreatif, mudah dan jelas.

Kepimpinan dari cawangan, bahagian, negeri dan pusat perlu menjadi contoh kerana walau kita berada di atas hari ini, dahulu kita pernah berada di bawah.

Pemimpin yang diterima di segenap lapisan peringkat kepimpinan tahu ia adalah amanah dan aspirasi kepada lain. Jawatan adalah tanggungjawab.

Tugas mempertahankan parti adalah milik bersama tetapi pada masa yang sama perlu tahu bila untuk berundur tanpa dipaksa. Ia ada reputasi dan kredibiliti.

Pemimpin datang dan pergi, parti akan kekal diawasi. Roboh parti, runtuh personaliti.

Bentengnya adalah akar umbi. Penghayatan ke atas fahaman politik daripada kepentingan sendiri perlu dibezakan agar parti kekal milik akar umbi.

Ukur sokongan dengan mendengar suara mereka kerana bagi mereka, parti adalah satu perjuangan, parti adalah masa depan dan parti adalah sekelumit iman mereka.

*Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia