X

Kindly register in order to view this article
!

Faktor bulan alihkan Ever Given

Kapal kontena Ever Given terdampar secara melintang di Terusan Suez, Mesir pada 23 Mac lalu sebelum kerja-kerja menyelamatkannya berakhir pada 28 Mac lalu.
A
A

GRAVITI bulan penuh menyebabkan kerja-kerja mengapungkan kapal kontena gergasi, Ever Given yang terkandas dalam kedudukan mengiring di Terusan Suez, Mesir yang sempit berjaya dilakukan pada Isnin lalu.

Kapal itu terkandas dan menghalang laluan di terusan tersebut pada 23 Mac lalu sebelum pukul 8 pagi (waktu tempatan) berikutan ribut debu sehingga menyebabkan ia melintang dalam kedudukan mengiring sekali gus menghalang laluan kapal-kapal dagang yang lain.

Ketika kejadian, kapal yang didaftarkan di Panama dan dikendalikan oleh syarikat perkapalan Taiwan, Evergreen Marine Corp dalam pelayaran dari daerah Yantian, China menuju ke Pelabuhan Rotterdam, Belanda.

Kerja-kerja menyelamat kapal gergasi sepanjang 400 meter (m) yang menyamai keluasan empat padang bola sepak itu dilakukan selepas ia turut terkandas dalam lumpur dan pasir di bahagian selatan terusan tersebut.

Sebuah jentera pengorek mengorek pasir di bahagian depan kapal itu manakala bot-bot tunda digunakan untuk mengalihkannya tetapi ia masih gagal bergerak menyebabkan sebuah syarikat Belanda, Smit Salvage dan syarikat Nippon Salvage dipanggil oleh Pihak Berkuasa Terusan Suez untuk menyelamatkan Ever Given.

Pada 28 Mac lalu, iaitu lima hari selepas kapal tersebut terkandas, lebih 18,000 tan pasir dan lumpur berjaya dikorek dari bawah kapal tersebut bagi membantu bahagian depannya tidak lagi terdampar di atas pasir serta lumpur.

Bagaimanapun, air pasang masih gagal untuk mengapungkan kapal kontena yang seberat lebih 200,000 tan itu.

Percubaan untuk mengalihkan Ever Given kemudian diteruskan dan pada Isnin lalu. Pengerusi Pihak Berkuasa Terusan Suez, Osama Rabie memberitahu, Ever Given akhirnya berjaya diapungkan.

Kejayaan mengapungkan dan menyelamatkan kapal kontena itu yang turut menggunakan 11 kapal tunda pelabuhan dan dua kapal laut tunda berkuasa tinggi itu berlaku pada pukul 4.30 pagi Isnin lalu ketika fenomena bulan purnama berlaku.

Bulan purnama memainkan faktor penting dalam operasi menyelamatkan kapal kontena Ever Given di Terusan Suez, Mesir.
Bulan purnama memainkan faktor penting dalam operasi menyelamatkan kapal kontena Ever Given di Terusan Suez, Mesir.

Fenomena itu berlaku ketika bulan berada pada kedudukan yang paling dekat dengan Bumi serta berada dalam keadaan selari dengan matahari.

Bulan kelihatan besar dan paling bercahaya berbanding pada hari-hari biasa itu.Ia berlaku buat pertama kali dalam bulan Mac tahun ini.

Justeru, kejadian air pasang besar itu berlaku disebabkan oleh graviti bulan dan putaran Bumi.

Menurut portal berita New York Times, kemungkinan berlaku kenaikan paras air setinggi kira-kira 46 sentimeter (sm) di Terusan Suez iaitu lebih tinggi berbanding kebiasaan pada 29 Mac lalu.

Jarak bulan dengan Bumi ialah kira-kira 360,000 kilometer (km) hingga 410,000km.

Pasukan penyelamat dilaporkan turut mengharapkan bulan purnama untuk membantu mengapungkan sepenuhnya kapal tersebut.

Faktor bulan purnama itu membantu kerja-kerja menyelamatkan Ever Given menjadi lebih mudah kerana ia meningkatkan paras air di Terusan Suez.

Malah, seorang angkasawan Rusia, Sergey Kud-Sverchkov yang berada di dalam Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) sejak Oktober lalu turut berkongsi gambar kapal Ever Given terdampar di Terusan Suez menerusi Twitter.

Beliau berada kira-kira 400km dari Bumi ketika berada di ISS.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Boskalis, Peter Berdowski dilaporkan berkata, menyelamatkan kapal kontena yang terkandas itu merupakan satu usaha yang rumit dan memerlukan usaha berpasukan bagi melakukannya.

Sebuah jentera pengorek digunakan untuk mengorek pasir dan lumpur yang menyebabkan kapal Ever Given terdampar di Terusan Suez, Mesir baru-baru ini. - AFP
Sebuah jentera pengorek digunakan untuk mengorek pasir dan lumpur yang menyebabkan kapal Ever Given terdampar di Terusan Suez, Mesir baru-baru ini. - AFP

Berdowski berasa bangga dengan kerja-kerja yang dilakukan oleh pasukan penyelamat Smit Salvage sehingga berjaya mengapungkan semula Ever Given.

Firma Boskalis merupakan syarikat induk Smit Salvage yang turut sama membantu menyelamatkan kapal tersebut.

Kira-kira 450 buah kapal dagang dilaporkan terkandas semasa Ever Given tersekat di Terusan Suez, manakala sejumlah lagi kapal terpaksa menggunakan laluan yang lebih jauh iaitu perlu melalui Tanjung Harapan di selatan Afrika untuk menghantar barangan.

Terusan Suez kini mempunyai kedalaman 24m, panjang 193.30km dan lebar 205m setelah kerja-kerja pembesaran dilakukan sejak ia mula dibuka pada bulan November 1869. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!