Ordinan wujudkan kuasa luar biasa

No Image Caption
A
A
A

ORDINAN darurat berkaitan perbelanjaan negara yang diwartakan pada 31 Mac lalu memberi kuasa sementara yang luas kepada Menteri Kewangan untuk meluluskan perbelanjaan tambahan tanpa memerlukan kebenaran Parlimen.

Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu (Pindaan) 2021 itu diwartakan di bawah perisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan pada 11 Januari lalu.

Dengan ordinan itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bebas menggunakan duit negara daripada tabung yang disatukan dan menambah perbelanjaan tanpa perlu merujuk kepada Parlimen.

Dalam bahasa mudah, beliau boleh meminda Belanjawan 2021 yang diluluskan Parlimen Januari lalu mengikut pertimbangannya sendiri.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi alasan menangani wabak Covid-19 apabila menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan darurat.

Tetapi dengan ordinan berkaitan kewangan ini, jelaslah bahawa darurat Covid-19 boleh dijadikan alasan meminda belanjawan dan perbelanjaan negara.

Darurat adalah cek terbuka bagi kerajaan membelanjakan wang negara. Dalam bahasa mudah, Tengku Zafrul adalah 'Raja Duit’, sekali gus menjadikan beliau Menteri Kewangan yang paling berkuasa dalam sejarah.

Tanpa perlu bertungkus-lumus dalam arena politik atau mempunyai credential ekonomi dan kewangan yang teruji serta terpuji, beliau muncul sebagai salah seorang paling berkuasa di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Jika dibandingkan dengan 'orang luar’ yang dibawa masuk untuk menjadi Menteri Kewangan seperti Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Nur Mohamed Yakcop, Tengku Zafrul amat luar biasa.

Pasal apa terjadi begitu? Jawapannya kerana kerajaan yang melantiknya bukanlah kerajaan pilihan rakyat jelata.

Kini ia terlindung pula daripada pengawasan Parlimen oleh perisytiharan darurat.

Tidak ramai orang di luar dunia perbankan kenal siapa Tengku Zafrul tetapi mereka yang bergiat dalam bidang perbankan dan pengawasan industri kewangan pasti kenal siapa beliau.

Tanpa kuasa-kuasa darurat pun, Tengku Zafrul sudah powerful. Beliau bukan sahaja menguasai kewangan negara tetapi juga berkuasa ke atas syarikat-syarikat dan tabung-tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLC dan GLIC).

Dalam kapasiti sebagai Menteri Kewangan, beliau sudah pun mula menyusun semula pengurusan GLC dan GLIC, khususnya yang menyentuh pegawai-pegawai dilantik kerajaan terdahulu bagi digantikan oleh orang pilihannya sendiri.

Memandangkan betapa bergunanya beliau kepada kerajaan PN dan pihak-pihak tertentu dalam hierarki kuasa, maka adalah tidak mustahil jika beliau dipujuk atau 'diperintahkan’ bertanding pada pilihan raya umum akan datang sebagai calon PN.

Sementara itu, adalah tidak realistik bagi kita mengharapkan kerajaan bersikap terbuka dan telus mengenai kewangan serta belanjawan negara kerana undang-undang darurat dan penggantungan Parlimen yang sedang berkuatkuasa.

Kesimpulannya, oleh sebab undang-undang kewangan baharu ini dibuat tanpa penyertaan Parlimen, maka terpaksalah kita meletakkan sepenuh tanggungjawab di atas bahu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Kabinet.

Beban tanggungjawab juga akan dipikul oleh sesiapa sahaja yang terlibat mewujudkan rang undang-undang darurat tersebut sama ada buat masa ini atau pada masa akan datang.

Dalam zaman data yang tidak terhad (big data) dan bedah siasat perakaunan (forensic accounting), adalah sukar bagi mana-mana pihak pun menyembunyikan salah laku kewangan.

Kita sudah melihat bukti yang jelas dalam kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Akhir sekali, kita harus sedar dan beringat-ingat bahawa banyak negara telah menjadi muflis akibat penipuan serta salah urus kewangan di bawah pemerintahan diktator dan keadaan darurat di mana tidak wujud semak-imbang yang berkesan. Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara