SKPM-2 medan penulis bersuara

Gambar dari kiri: Awang Sariyan, Anwar Ridhwan, Siti Zainon Ismail
Gambar dari kiri: Awang Sariyan, Anwar Ridhwan, Siti Zainon Ismail
A
A
A

RENCANA ini dimulakan dengan pertanyaan: apakah yang diperjuangkan oleh penulis, khususnya di Malaysia?

Soalan ini penting bagi menentukan sama ada penulis mempunyai nilai yang tinggi bagi sesebuah negara atau hanya entiti pinggiran.

Untuk menjawab soalan itu, tiada pihak lain yang dapat menjawabnya selain golongan penulis sendiri.

Seandainya penulis sendiri tidak berani menyuarakan tuntutan yang berpaksikan kebenaran atau enggan menempelak kebejatan dalam masyarakat, gagal menyuarakan aspirasi rakyat, takut mempersoal tindakan oknum politik yang melanggar prinsip asas kenegaraan, apakah nilai yang ada pada mereka?

Sekiranya penulis berterusan selesa dengan permainan imaginasi nihil, berbahagia dengan pujian palsu, berlumba-lumba mencari anugerah dan penghargaan, khayal dalam keindahan bahasa semata-mata, atau lebih teruk jika menjadi pendukung kebebalan dan ketidakadilan, runtuhlah menara kemuliaan seseorang penulis.

Penulis sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang besar dalam pembentukan peradaban dan pembinaan negara bangsa. Storm Jameson, Presiden English PEN berkata, “Kita tidak berjuang hanya untuk diri kita sendiri tetapi untuk kepercayaan yang kita kongsi bahawa setiap manusia daripada mana-mana bangsa dan agama, harus saling menghormati dan fikiran harus bebas.”

Baha Zain secara sinis berkata dalam sajaknya Dari Puisi Apa Ertinya:

Apa yang dicari dari puisi

Artikel Berkaitan:

Visi hidup, kebenaran mutlak atau abadi

Cukuplah bertanya yang wajar saja

Tentang ucapan khusus dirinya

Bagi Baha Zain, sasterawan ada dua pilihan, iaitu mencari “Visi hidup, kebenaran mutlak atau abadi” atau hanya mengutamakan diri sendiri. Tentu sahaja maksud sebenar daripada sajak itu ialah menyindir golongan yang kedua.

Berkampung

Sengaja saya lontarkan pandangan ini untuk mengusik-usik penulis yang akan berkampung dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia kedua (SKPM-2) pada 10 April 2021 di Rumah PENA, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur.

Pada SKPM-2 kali ini PENA selaku penganjur utama menerima restu dan sokongan daripada Sekretariat Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC).

Kekangan daripada pandemik Covid-19 membataskan keupayaan penganjur untuk mengekalkan saiz penganjuran yang terdahulu, iaitu pada 26 Oktober 2014 di Jitra, Kedah.

Begitupun, saiz penganjuran bukanlah penting sangat berbanding pengisiannya. Perbincangannya berkisar pada tema “Sastera, Bahasa dan Budaya Pemersatu Bangsa”.

Tema ini kami pilih bersesuaian dengan gejolak yang sedang mendidih dalam politik semasa.

Biarpun sasterawan tidak wajar taasub pada sesebuah parti, kerana parti sentiasa mengubah neraca kebenarannya, mereka masih bertanggungjawab meninjau kerenah orang politik dan turut sama memikirkan bentuk sumbangan yang perlu diberikan kepada masyarakat dan negara.

Berdasarkan prinsip itu, maka PENA menyediakan medan perbincangan dalam kalangan sasterawan untuk mencari idea dan kaedah tentang aspek tersebut.

Para sasterawan daripada pelbagai golongan, fikrah, generasi dan gender diajak memberikan pandangan secara bebas.

Ini sebenarnya ialah harapan yang muluk-muluk untuk mendengar lontaran pandangan yang berani, hatta menegur dan menyanggah oknum politik.

Teguran daripada sasterawan tidak menggugat kuasa kerana kaedahnya lembut, bukan dengan provokasi melampau. Memang begitulah sastera.

Dalam banyak keadaan, sastera dan sasterawan tidak diberi perhatian, terutama dalam pembahagian kek ekonomi dan peluang berada di jenjang kuasa.

Barangkali ramai yang dikaburi imej tulusnya sebuah badan yang menguruskan dana kerajaan, iaitu Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana). Ia diwujudkan oleh kerajaan “untuk membina ekonomi budaya yang bertenaga, lestari dan bercita-cita tinggi untuk Malaysia.”

Cendana menerima RM15 juta daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia “bagi memacu perkembangan ekonomi kreatif” untuk manfaat lebih 5,000 penggiat seni serta petugas produksi belakang tabir. Demikian kenyataan media oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia pada 7 November 2020.

Tertinggal

Begitupun, hakikatnya, dana yang besar itu hanya untuk seni visual, seni persembahan dan seni muzik indie.

Seni dalam peta pengurusan Cendana tidak menerima kemasukan sastera dan penulisan. Dalam percubaan satu pihak untuk mendapatkan dana daripada agensi tersebut bagi tujuan aktiviti persuratan, jawapan yang diterima ialah bidang sastera bukan keutamaan mereka buat masa ini (dengan alasan berbasa-basi).

Dan, lupakan soal kebudayaan kebangsaan dalam visi mereka. Sastera tertinggal dalam dalam serba-serbi perancangan negara.

Ah, sentuhan terhadap isu ini mungkin akan dianggap sebagai badi daripada cerita kecewa musang dengan “anggur masam”.

Oleh itu, para sasterawan perlu sentiasa bergerak ke hadapan, bersuara dengan idealisme murni dan membangunkan tradisi persuratan yang bertenaga dan berani. Inilah antara pencetus kepada penganjuran SKPM.

Perhimpunan bertaraf nasional ini akan mengumpulkan penulis, aktivis bahasa, budaya, kumpulan media dan penerbit serta para birokrat budaya yang kesemuanya bertanggungjawab merangka gagasan besar negara. Perasmiannya oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, diharap dapat memberikan nilai yang tinggi kepada pertemuan ini.

Perbincangan ilmu itu akan diisi dengan ucap utama oleh Prof. Datuk Sri Dr. Awang Sariyan, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), manakala untuk tiga sesi pembentangan seminar, topik yang disediakan adalah pelbagai dan akan ditangani para ilmuwan dan yang sentiasa terlibat dalam pembinaan landskap sastera tanah air.

Untuk topik “Menggali Kearifan Sastera untuk Penyatuan Bangsa” panelnya ialah Prof. Madya Dr. Norhayati Ab Rahman, Dr. Raja Rajeswari Seetharaman, Prof. Dr. Hashim Ismail, dan Dr. Abang Patdeli Abang Muhi. Sesi bertajuk “Sastera dalam Era Revolusi Industri 4.0” akan dibahaskan oleh Datuk Jasni Matlani, Dr. Lim Swee Tin, Nisah Haron dan Muhammad Lutfi Ishak.

Sementara itu, empat lagi tokoh yang akan mengisi slot forum ialah SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, Datuk Zainal Abidin Borhan, SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, dan Datuk Che Shamsudin Othman atau Dinsman.

* Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ialah Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia. Beliau mengajar di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya