Ahli UMNO dalam kerajaan PN tidak akan bantah

Gambar kecil: Ahmad Atory
Gambar kecil: Ahmad Atory
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang penganalisis politik veteran berpendapat ahli UMNO dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan membantah keputusan dibuat di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) agar mereka meletakkan jawatan selepas darurat tamat.

Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, walaupun mungkin akan terdapat segelintir yang tidak bersetuju, tetapi mereka akan mengikut keputusan yang dibuat kerana ia adalah keputusan majoriti.

“Kalau adapun yang tidak mahu meletakkan jawatan nanti, kemungkinan besar mereka akan teruskan dalam kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Mungkin mereka tidak bersetuju dengan PAU, tapi ketidaksetujuan itu tidak dinyatakan sekarang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

PAU 2020 pada Ahad lalu meluluskan usul supaya presiden parti dan MKT diberi mandat menentukan bila-bila masa untuk menarik diri daripada kerajaan PN.

Keputusan itu dicapai menerusi undian sebulat suara daripada perwakilan yang menghadiri perhimpunan terbesar parti itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian parti itu akan dibuat sekiranya kerajaan yang dipimpin Muhyiddin masih tidak mempunyai indikasi bila pilihan raya umum (PRU) akan diadakan.

Mengulas lanjut, Ahmad Atory menjelaskan, presiden parti tidak boleh berbuat apa-apa kepada ahli Parlimen UMNO yang tidak mahu meletakkan jawatan.

Artikel Berkaitan:

“Atas kapasiti ahli Parlimen, saya rasa Presiden UMNO tidak boleh berbuat apa-apa. Tapi, atas kapasiti ahli UMNO, mereka akan dipecat.

“Siapa juga menteri, timbalan menteri, pengerusi GLC kalau ingkar, tidak mahu patuh arahan MKT dan presiden selepas darurat ditamatkan nanti saya rasa mereka akan gugur sebagai ahli UMNO.

“Tetapi tetap menjadi ahli Parlimen bebas dan mungkin masih lagi menganggotai kabinet,” katanya.