KPN kesal isu Da Ma Cai dipolemik

Tan Sri Mohamad Fuzi Harun
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun kesal lawatan kerja Polis Diraja Malaysia ke Turki yang ditaja syarikat judi, Da Ma Cai, dipolemikkan.

Katanya, lawatan itu merupakan tugas rasmi dan isu tersebut disensasikan oleh pihak yang tidak mengetahui peranan Da Ma Cai.

"Saya tak tahu apa motif ada pihak membuat laporan itu. Apa yang pasti kita ke sana untuk bertugas. Itu adalah tugas rasmi. Jelas sekali laporan negatif berhubung lawatan ini adalah tidak berasas sama sekali.

"Bila tugas rasmi macam-macam acara diatur oleh pihak rakan polis di Turki. Mereka sediakan kemudahan untuk kita selain program rasmi dan mereka juga mengatur program sampingan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kesal dengan apa yang berlaku, Mohamad Fuzi berkata, jika wujud kemusykilan terhadap apa yang dilakukan oleh PDRM ke Turki, seharusnya diajukan pertanyaan kepada Lembaga Totalisator Malaysia (TLM) dan bukannya terus menyerang badan keselamatan itu.

"Memang tiap-tiap tahun mereka (LTM) tawar kepada kita. Sebab kita bantu mereka dalam usaha mengatasi sindiket haram, bookie dan lain-lain," katanya.

Mengulas lanjut Mohamad Fuzi berkata, lawatan kerja itu adalah keperluan penugasan bagi mengukuhkan hubungan dan kedudukan strategik PDRM bersama Polis Turki.

"Perkara ini dibuat bukan sahaja kepada kita (PDRM), tapi jika mereka datang ke sini, kita juga sediakan perkara yang sama.

“Tidak ada apa yang tidak kena dengan perkara itu dan saya tak pasti apa motif isu ini dibuat," katanya.

Beliau menjelaskan, lawatan kerja itu bukan sahaja mengenai isu bagaimana untuk membanteras judi atas talian tetapi merangkumi judi haram khususnya berkaitan kelab lumba kuda, membincangkan isu jenayah rentas sempadan seperti Macau Scam dan Love Scam selain isu kumpulan pengganas Daesh, penggunaan teknologi dan seumpamanya.