Muhyiddin adakan lawatan rasmi dua hari ke Brunei

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan rasmi ke Bandar Seri Begawan, Brunei pada Ahad bersempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-23 Malaysia-Brunei Darussalam.

Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, lawatan rasmi hingga Isnin itu merupakan pertemuan pertama kali Perdana Menteri dengan Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di bawah kerangka Rundingan Pemimpin Tahunan.

Tambah kenyataan itu, lawatan itu juga adalah bagi memenuhi undangan Sultan Hassanal Bolkiah yang telah dipanjangkan kepada Perdana Menteri sebelum ini.

Kata kenyataan itu, Rundingan Pemimpin Tahunan berkenaan merupakan platform peringkat tertinggi bagi perbincangan mengenai pelbagai isu dua hala, hal ehwal serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

“Kedua-dua pemimpin akan mengambil peluang semasa mesyuarat tahunan ini untuk menilai kemajuan kerjasama yang sedang berjalan di samping mengukuhkan lagi hubungan istimewa dan kerjasama pasca Covid-19 yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

“Ini termasuk perbincangan mengenai cadangan pewujudan Aturan Laluan Hijau Timbal Balas di antara Malaysia dan Brunei, cadangan kerjasama dalam bidang diplomasi vaksin dan cadangan ke arah pengukuhan kerjasama ekonomi,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, semasa rundingan berkenaan, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pemuktamadan Memorandum Persefahaman dalam bidang pengurusan bencana antara kedua-dua kerajaan.

“Dan pemeteraian perjanjian Unitisation Agreement di antara Petronas dan Brunei National Unitisation Secretariat dalam sektor minyak dan gas di mana Rundingan Pemimpin Tahunan ke-22 telah diadakan di Putrajaya pada 5 Mac 2019,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu berkata, satu kenyataan bersama akan dikeluarkan di akhir Rundingan Pemimpin Tahunan ke-23.

Dalam pada itu, KLN berkata, Perdana Menteri akan diringi isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta delegasi kecil yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan kerajaan bagi meminimumkan risiko dijangkiti Covid-19.

“Selain delegasi kecil, lawatan ini juga tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang amat ketat seperti dipersetujui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Brunei Darussalam,” kata kenyataan itu.