Hampir 1,000 pekerja sektor minyak, gas Labuan jalani ujian Covid-19

Hampir 1,000 individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam kluster baharu Covid-19 iaitu Kluster Pulau Enoe telah menjalani ujian saringan. Gambar hiasan
Hampir 1,000 individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam kluster baharu Covid-19 iaitu Kluster Pulau Enoe telah menjalani ujian saringan. Gambar hiasan
A
A
A

LABUAN - Hampir 1,000 individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam kluster baharu Covid-19 iaitu Kluster Pulau Enoe telah menjalani ujian saringan, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari.

Beliau berkata, kluster itu yang terletak di zon perindustrian minyak dan gas Rancha-Rancha dikawal dengan baik dan dijangka stabil dalam tempoh dua hingga tiga hari akan datang.

“Kluster ini mempunyai 17 kes setakat ini dan menunjukkan trend menurun. Kami berharap lengkung jangkitan Covid-19 akan merata dalam beberapa hari akan datang,” katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Labuan yang bakal diisytihar zon hijau selepas penurunan ketara kes positif sejak Februari telah diisytiharkan semula berstatus zon merah pada Rabu (31 Mac) berikutan peningkatan kes beberapa hari lepas dengan jumlah keseluruhan 53 kes aktif setakat Jumaat.

Dr Ismuni mendedahkan, Sub Zon 4 pulau itu merekodkan kes paling banyak iaitu 20, diikuti Sub Zon 1 dengan 19 kes, Sub Zon 2 dan 3 masing-masing enam kes dan Sub Zon 5 catat dua kes.

“Sub Zon 4 merekodkan kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 harian tertinggi, justeru penduduk di kawasan itu harus mengawal pergerakan dan meneruskan prosedur operasi standard (SOP) dalam aktiviti harian mereka.

“Jumlah kes Covid-19 melepasi 40 dalam tempoh 14 hari dan pengisytiharan semula zon merah itu selepas kemunculan Kluster Pulau Enoe pada 31 Mac,” katanya.

Dr Ismuni berkata, Kluster Jalan Kemajuan dengan 20 kes setakat ini, yang melibatkan pekerja restoran dan kru kapal telah menjangkiti generasi ketiga dan sedang dipantau rapi.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga mendedahkan 10 jangkitan tempatan baharu dicatat pada Jumaat terdiri daripada sukan petanque (empat kes) dua majlis tahlil (lima kes) dan satu kes dari taman asuhan kanak-kanak (taska).

Labuan masih dikaitkan dengan dua kluster aktif iaitu Jalan Kemajuan dan Pulau Enoe mempunyai kadar insidens 2,351 kes Covid-19 bagi setiap 100,000 penduduk setakat Sabtu, tertinggi berbanding negeri lain dan Wilayah Persekutuan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!