Terima kasih Kemboja: TPM

Kesemua 47 warga Malaysia yang ditahan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey telah dibebaskan lewat petang ini selepas beberapa perundingan dibuat dengan pihak kerajaan Kemboja dan Malaysia. Foto: Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Kemboja yang memberikan kerjasama baik dalam pembebasan kesemua 47 warga Malaysia yang ditahan di penjara wilayah Banteay Meanchey.

“Kesemua 47 rakyat Malaysia yang ditahan di penjara wilayah Banteay Meanchey telah dibebaskan. Terima kasih kepada kerajaan Kemboja yang memberi kerjasama yang baik kepada pihak kerajaan Malaysia. Alhamdulillah,” katanya menerusi catatan di Twitter beliau, malam ini.

Kesemua warga Malaysia dibebaskan lewat petang ini selepas beberapa rundingan dibuat dengan pihak kerajaan Kemboja dan Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: 47 tahanan warga Malaysia dibebaskan

Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican yang mengesahkan perkara itu berkata keputusan meluluskan pembebasan itu dibuat oleh Perdana Menteri Kemboja Hun Sen setelah mendapati semua tahanan itu telah ditipu oleh sindiket ejen pekerjaan.

Wisma Putra pada Khamis lepas mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia itu sejak 11 Dis tahun lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.- Bernama