Pemilihan UMNO: Ahli perlu hormati keputusan MKT

Rizam Ismail
Rizam Ismail
A
A
A

SABAK BERNAM - Semua ahli diminta menghormati keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk menentukan masa paling sesuai diadakan pemilihan parti itu.

Ahli MKT UMNO, Datuk Rizam Ismail berkata, setiap ahli terikat dengan disiplin parti dan perlu menghormati keputusan sebulat suara MKT untuk memutuskan tarikh sesuai.

"Kita serahkan kepada MKT untuk memutuskan sama ada pemilihan itu akan diadakan pada bila masa yang dilihat sesuai," katanya.

Rizam yang juga Ketua Pemuda UMNO Selangor berkata, sebagai ahli parti, seharusnya mereka akur dengan segala keputusan MKT termasuk sekiranya pemilihan tidak dapat diadakan dalam waktu terdekat.

"Kita perlu fokus menjadi ahli UMNO yang sentiasa memberi tumpuan kepada gerak kerja parti, mendepani dan membantu masyarakat, menjadi perantara suara masyarakat dan seterusnya memperjuangkan kesusahan rakyat," katanya pada sidang akhbar selepas Program Derma Darah di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar di sini pada Sabtu.

Ditanya mengenai kenyataan Pas yang menegaskan akan terus mengukuhkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Rizam berkata, beliau menghormati keputusan itu.

"Kita hormati keputusan Pas untuk bekerjasama dengan Bersatu, tetapi mereka juga saya yakin akan menghormati keputusan yang dibuat UMNO semasa Perhimpunan Agung pada minggu lalu," katanya.

Artikel Berkaitan: