Tiada peruntukan calon lebih 65 tahun tidak boleh bertanding

Kon Yeow (tengah) melancarkan aplikasi Parkir Pintar Pulau Pinang (PSP) versi 2.0.3 di Dewan Bandaraya MBPP, Georgetown pada Sabtu.
Kon Yeow (tengah) melancarkan aplikasi Parkir Pintar Pulau Pinang (PSP) versi 2.0.3 di Dewan Bandaraya MBPP, Georgetown pada Sabtu.
A
A
A

GEORGETOWN - Peruntukan perlembagaan Persekutuan tidak menyebut seseorang calon yang berusia lebih 65 tahun tidak boleh bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perlembagaan tidak menghalang perkara itu dan ia tidak sepatutnya diulas dengan lebih lanjut.

"Oleh kerana kami belum sampai 65 tahun saya tidak mahu komen, tanya orang yang telah mencapai 65 tahun, tunggu pemuda itu capai 65 tahun baru dia boleh fikir.

"Perlembangaan kita tidak ada halangan untuk mereka yang berusia lebih 65 tahun untuk menjadi calon PRU15 nanti," katanya ketika ditemui selepas melancarkan aplikasi Parkir Pintar Pulau Pinang (PSP) versi 2.0.3 di Dewan Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), di sini pada Sabtu.

Kon Yeow berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia yang bergabung untuk menggerakkan gelombang besar-besaran bagi mengajak pengundi memboikot calon yang berusia lebih 65 tahun dalam PRU15 kelak.

Jurucakap gabungan berkenaan, Fahami Ashraf Baharuddin berkata, gerakan itu dibuat setelah mengambil kira situasi politik semasa negara yang dipimpin kelompok gerontocracy atau generasi usia tua.

Tambahnya, langkah itu dibuat sebagai tindak balas terhadap tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pelaksanaan pendaftaran untuk pengundi berusia 18 tahun.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan RM7 juta untuk menjalankan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi fasa kedua dan ketiga di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita memohon peruntukan sebanyak RM30 juta daripada kerajaan Pusat sebagai persediaan untuk menjalankan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi fasa kedua dan ketiga di Pulau Pinang.

"Namun, menerusi pertemuan dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin kelmarin (Khamis), beliau memaklumkan bahawa RM7 juta telah diluluskan bagi tujuan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, peruntukan berkenaan akan digunakan untuk memastikan program imunisasi fasa kedua dan seterusnya berjalan dengan lancar.

Sementara itu, ditanya mengenai beberapa buah sekolah yang dijangkiti Covid-19, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri berharap Kementerian Pendidikan mengkaji semula pembukaan sekolah-sekolah bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan pelajar di Pulau Pinang.

"Sudah beberapa kali kerajaan negeri bangkitkan mengenai hal ini dan kita juga suarakan kebimbangan ibu bapa untuk perhatian Kementerian Pendidikan dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Saya yakin Menteri Pendidikan tahu mengenai situasi ini namun masih kekal dengan rancangan sedia ada (buka sekolah) namun, buat masa ini pengetua sekolah boleh memainkan peranan dengan menilai risiko di sekolah-sekolah dan mencadangkan penutupan sekolah sekiranya perlu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 8 NGO tuntut had umur ahli Parlimen tidak lebih 65 tahun