Pemuda Pas sokong politik berintegriti, berkebajikan: Khairil Nizam

Khairil Nizam Khirudin
Khairil Nizam Khirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas berikrar untuk terus memperkukuh kerjasama dengan pemuda Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Progresif Sabah (SAPP), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) melalui Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pemuda Pas, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, pada masa sama, suara anak muda melalui badan bukan kerajaan (NGO) juga akan diberi perhatian.

"Pemuda Pas komited mendokong kerajaan PN melalui pelbagai inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan. Pemuda PN juga akan terus menghulurkan tangan kepada NGO-NGO dan NGI bagi membawa suara anak muda untuk diberikan perhatian dan diselesaikan oleh kerajaan PN.

"Selain daripada itu, bagi meningkatkan 'feel good factor' rakyat, Pemuda Pas menyokong dan mendokong tawaran baru dinyatakan oleh Presiden dan Timbalan Pas iaitu berintegriti dan berkebajikan berasaskan kepada perlembagaan Persekutuan yang meraikan masyarakat majmuk, bumiputera dan bukan bumiputera.

"Semua tawaran ini akan berasaskan kepada dimensi budaya politik baru dan segar iaitu Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS)," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Khairil Nizam menjelaskan, anak muda kini muak dengan pemimpin yang menjadikan politik sebagai wadah untuk menambah kekayaan, kebal daripada tindakan undang-undang, pecah amanah serta salahguna kuasa.

Justeru katanya, barah kronik itu perlu dihentikan segera.

"Hakikatnya, politik itu sendiri tidaklah kotor dan jijik. Menjadikannya kotor dan jijik ialah pemain politik yang tidak berintegriti dan memperdagangkan bangsa dan negara untuk diri sendiri," katanya.

Artikel Berkaitan: