Doa tuntut cepat dapat royalti

Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Abdul Kadir Nik Muhamad membaca doa ketika solat hajat memohon mempermudahkan bayaran balik tuntutan royalti minyak negeri ini.
A
A

KOTA BHARU - Lebih 20,000 rakyat Kelantan mengaminkan doa menuntut pembayaran royalti minyak kepada negeri ini dipermudahkan pemerintah.

Doa dibacakan Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Abdul Kadir Nik Muhamad sempena sambutan Hari Murabbi Ummah di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV malam ini.

Solat hajat turut disertai Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan exco kerajaan negeri.

Ahmad menyampaikan ucapannya pada malam ini.
Ahmad menyampaikan ucapannya pada malam ini.

Hari Murabbi Ummah dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah dan buat julung kalinya menampilkan pendakwah terkenal dari Indonesia, Abdul Somad Batubara yang menyampaikan tazkirah bertajuk Tegakkan Islam Tanggungjawab Ummah.

Hadirin yang membanjiri pekarangan stadium turut membacakan Al-Fatihah buat arwah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sementara itu, Ahmad dalam ucapannya meminta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membayar royalti kepada Kelantan.

Menurutnya, sehingga kini, tiada tanda-tanda yang menunjukkan kerajaan pusat akan memulangkan kembali hak Kelantan itu walaupun kini sudah masuk bulan Febuari.

Solat hajat diadakan sempena sambutan Hari Murabbi Ummah di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV malam ini.
Solat hajat diadakan sempena sambutan Hari Murabbi Ummah di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV malam ini.

“Sebagai hamba, kita hanya mampu doa kepada ALLAH SWT yang akan menentukan (bayaran royalti). Oleh sebab itu kedatangan tuan dan puan memberi harapan yang besar kepada Kelantan.

“Ini menunjukkan bahawa rakyat memberi sokongan penuh kepada kerajaan negeri untuk memohon royalti minyak,” katanya.

Selain itu, beliau turut minta rakyat negeri ini bersyukur kerana kerajaan yang ada kini bukanlah dibina dengan angan kosong, tetapi dipasak atas keringat para murabbi, digembleng menerusi mujahaddah para ulamak.

“Hari ini, usia Kerajaan Kelantan sudah 29 tahun dan pelbagai halangan dan tribulasi berjaya diharungi dalam usaha meletakkan asas yang kukuh dan destinasi yang jelas menuju sebuah model kerajaan Islam,” katanya.