Tiga pusat kumpul sawit dikesan tipu alat penimbang

Pegawai KPDNHEP Rompin memeriksa komputer alat penimbang kenderaan pusat pengumpulan sawit di daerah itu. (Foto: Ihsan KPDNHEP Rompin)
Pegawai KPDNHEP Rompin memeriksa komputer alat penimbang kenderaan pusat pengumpulan sawit di daerah itu. (Foto: Ihsan KPDNHEP Rompin)
A
A
A

ROMPIN - Tiga pusat pengumpulan sawit dipercayai mengubah suai alat penimbang kenderaan bagi mengaut keuntungan lebih daripada pekebun dikesan oleh pihak berkuasa.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Rompin, Raja Azwan Shah Raja Ahmad berkata, perkara itu berjaya dikesan selepas menjalankan pemeriksaan ke atas 10 premis yang menggunakan alat timbang kenderaan di pusat pengumpulan sawit di daerah tersebut, dua hari lalu.

Menurutnya, hasil daripada pemeriksaan itu, pihaknya mendapati tiga pusat pengumpulan sawit telah melakukan kesalahan dengan memanipulasikan sistem timbangan bagi mengurangkan berat.

Komputer alat penimbang kenderaan pusat pengumpulan sawit yang didapati diubah suai (Foto: Ihsan KPDNHEP Rompin)
Komputer alat penimbang kenderaan pusat pengumpulan sawit yang didapati diubah suai (Foto: Ihsan KPDNHEP Rompin)

"Kita mengesan dua kes (premis) yang akan disiasat mengikut Seksyen 17 Akta Timbang dan Sukat 1972, sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih empat tahun.

"Satu lagi kes disiasat di bawah Peraturan 37, Peraturan-Peraturan Timbang Dan Sukat 1981, pembaik tidak mengeluarkan suatu perakuan pembaikan iaitu Borang E dan kesalahan boleh di kompaun sehingga RM12,500 bagi perseorangan dan sehingga RM25,000 bagi syarikat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Sebelum ini, KPDNHEP Rompin dan Kuantan dengan kerjasama penguat kuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia Wilayah Utara (MPOB) dan Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd (MCM) serta Cyber Security telah mengadakan operasi selepas mendapat aduan daripada orang awam berhubung perbuatan salah yang dilakukan beberapa pusat pengumpulan sawit di daerah itu.

Raja Azwan Shah berkata, pihaknya menjalankan siasatan kerana perbuatan itu salah di sisi perundangan.

Artikel Berkaitan:

"Kegiatan ubah suai alat timbang kenderaan adalah perbuatan salah dan menyebabkan pekebun tertipu," katanya.

Tambah beliau, dalam operasi berkenaan pihaknya menyita pelbagai peralatan seperti komputer dan mesin cetak bernilai lebih RM5,500.

Sementara itu, beliau berkata, pihak MPOB turut mengenakan dua kompaun mengikut Peraturan 21(2) Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998, membeli atau menerima sawit muda.