Mara, Pharmaniaga, Macro Tech Venture bantu usahawan bumiputera

Wakil Mara, Pharmaniaga dan Dropee selepas menandatangani MoU bagi melestarikan perniagaan usahawan bumiputera di Kuala Lumpur pada Khamis.
Wakil Mara, Pharmaniaga dan Dropee selepas menandatangani MoU bagi melestarikan perniagaan usahawan bumiputera di Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) dan Macro Tech Venture Sdn Bhd (Macro Tech Venture) bagi mengukuhkan dan melestarikan perniagaan usahawan di Malaysia, khususnya bumiputera.

Pengerusi Mara, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, kerjasama strategik itu bertujuan memajukan golongan usahawan dalam usaha melengkapkan ekosistem perniagaan yang kondusif dan meluaskan rantaian bekalan ubatan.

“Usaha ini bagi menjana sosioekonomi bumiputera agar lebih mampan dan berdaya saing.

“Mara juga sedang giat membangunkan Program Pembangunan Usahawan Profesional (Prospec) yang telah mempunyai 35 rangkaian U.N.I Klinik, 10 rangkaian U.N.I Farmasi dan U.N.I Dental.

“Kerjasama dengan Pharmaniaga adalah langkah mampan bagi membangunkan usahawan Prospec bidang perubatan dan kesihatan dengan lebih kukuh,” katanya pada Majlis Menandatangani MoU antara Mara dan rakan strategik Pharmaniaga serta Macro Tech Ventures di sini pada Khamis.

MoU itu ditandatangani antara Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf bersama Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope dan Pengarah Urusan Macro Tech Venture, Aizat Rahim.

Wakil Mara dan Macro Tech Venture Sdn Bhd menandatangani (MoU) ketika majlis di Hotel Premiera, Kuala Lumpur pada Khamis.
Wakil Mara dan Macro Tech Venture Sdn Bhd menandatangani (MoU) ketika majlis di Hotel Premiera, Kuala Lumpur pada Khamis.

Azizah berkata, kedua-dua pihak akan bekerjasama membangunkan usahawan melalui latihan keusahawanan, khidmat nasihat dan bimbingan industri bagi memperluaskan komuniti farmasi bumiputera.

Artikel Berkaitan:

“Mara juga akan membiayai modal kerja 24 vendor Pharmaniaga yang terpilih melalui skim kemudahan pembiayaan perniagaan Mara yang tertakluk kepada terma dan syarat.

“Kedua-dua pihak juga akan melaksanakan aktiviti kemasyarakatan terutama dalam bidang kesihatan kepada masyarakat sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya.

Beliau berkata, Pharmaniaga merupakan sebuah kumpulan syarikat farmaseutikal bersepadu terbesar di Malaysia yang menyediakan produk perkhidmatan berkualiti dalam industri penjagaan kesihatan bertepatan dengan program Mara.

“Macro Tech Ventures pula merupakan sebuah syarikat tempatan berpengalaman dalam membangun, membimbing dan membantu perniagaan syarikat lain melalui platform Dropee.

“Kerjasama ini akan memberi fokus kepada aplikasi teknologi bagi membantu usahawan meningkatkan pengurusan operasi, pengkomersialan dan jualan usahawan dengan mengaplikasikan pasaran Perniagaan kepada Perniagaan (B2B),” katanya.