Rugi RM1.2 juta ditipu rakan kongsi

Ayob Khan
Ayob Khan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki kerugian RM1.2 juta selepas diperdaya melabur dalam sebuah syarikat pelancongan dan hartanah yang tidak wujud oleh rakan kongsinya.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Picthay berkata, lelaki berusia 52 tahun itu pada mulanya dijanjikan akan mendapat pulangan dividen dan milikan saham sebuah syarikat iaitu sebanyak 23.3 peratus berserta modal perniagaan.

Menurutnya, mangsa yang terpedaya dengan janji manis suspek membuat pembayaran sebanyak RM1.2 juta kepada lelaki berkenaan yang berusia lingkungan 30 hingga 35 tahun.

"Mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Johor Jaya pada Khamis pada jam 3.52 petang apabila menyedari dirinya ditipu rakan kongsinya itu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, siasatan awal mendapati modus operandi suspek menawarkan kadar dividen dan milikan saham yang menarik selain dijanjikan mendapat keuntungan semula daripada modal dilaburkan membuatkan mangsa terpedaya.

Sehubungan itu, Ayob Khan menasihati orang ramai dan masyarakat supaya lebih berhati-hati dan berwaspada dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi.

"Jangan mudah terpedaya apabila membabitkan transaksi kewangan tanpa bersemuka.

"Semak dahulu akaun bank diberikan menerusi laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi memastikan akaun diberi pernah terbabit dalam kes penipuan dan berada dalam rekod siasatan polis," katanya.

Artikel Berkaitan: