KBS puas hati kejayaan JDT, MFL pastikan penonton patuh SOP

Reezal Merican bersama sejumlah pegawai dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman dan MKN tiba untuk memantau pematuhan penonton terhadap SOP yang ditetapkan pihak berkuasa bagi perlawanan JDT bertemu Melaka United di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat. - Foto Bernama
Reezal Merican bersama sejumlah pegawai dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman dan MKN tiba untuk memantau pematuhan penonton terhadap SOP yang ditetapkan pihak berkuasa bagi perlawanan JDT bertemu Melaka United di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memuji kejayaan Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam memastikan segala pematuhan prosedur operasi standard (SOP) penonton dapat dilaksanakan dengan baik semasa perlawanan pasukan itu bertemu Melaka United FC di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam Jumaat.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ini kerana berdasarkan tinjauan dibuat, JDT didapati telah melakukan pelbagai persediaan termasuk menyediakan seramai 260 petugas keselamatan untuk memantau pematuhan SOP.

Selain itu, di pihak MFL, beliau berkata, mereka berjaya membuktikan telah mengurus pembelian tiket secara dalam talian dengan berkesan.

“Hari ini (malam tadi) JDT dan penonton JDT telah membuktikan bahawa mereka benar-benar disiplin patuh SOP dan ini akan menjadi pembuka laluan yang mudah untuk stadium-stadium lain meneruskan perlawanan dengan menyaksikan kehadiran penonton,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam Jumaat.

Reezal berkata, beliau akan meminta MFL dan JDT mendokumentasikan segala perjalanan SOP penonton di Stadium Sultan Ibrahim untuk dikemukakan kepada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya dapat meyakinkan mereka berhubung kesiapsiagaan kelab bola sepak dalam mengendalikan pematuhan SOP digariskan.

Dalam pada itu, ditanya seawal bila KBS dijangka mengumumkan kebenaran semua penonton untuk masuk ke stadium, Reezal berkata secara kelulusannya, perkara itu sudah boleh dilakukan.

“Cuma dari segi FC (kelab bola sepak) itu sendiri, kami (kementerian) hendak lihat keupayaan mereka kerana ini juga melibatkan elemen penambahan kos namun dalam mesyuarat yang dilakukan MFL bersama semua pasukan, pada umumnya telah mempunyai persediaan namun persediaan mereka akan dipantau dari semasa ke semasa supaya apabila berlangsungnya perlawanan mereka boleh patuh,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: