X

Kindly register in order to view this article
!

Pemimpin PH, UMNO bagi komitmen

Penggubalan akta untuk mengawal fenomena budaya lompat parti memerlukan komitmen semua ahi politik.
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin politik daripada Pakatan Harapan (PH) dan UMNO bersetuju dengan keperluan kerajaan menggubal segera Akta Anti Lompat Parti di peringkat Persekutuan bagi memastikan amalan demokrasi negara terus subur pada masa hadapan.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berkata, langkah penggubalan akta itu penting bagi memastikan aspek integriti bagi setiap wakil rakyat tidak dapat dipertikaikan mana-mana pihak, terutama golongan pengundi.

Jelas beliau, isu wakil rakyat lompat parti yang berleluasa di Malaysia ketika ini, sebenarnya langsung tidak berkaitan dengan hala tuju parti diwakili mereka, tetapi lebih menyentuh aspek integriti dalam diri wakil rakyat berkenaan.

“Amanah bersetuju dengan keperluan penggubalan Akta Anti Lompat Parti dan berpendapat mana-mana wakil rakyat yang mahu melompat parti atas konflik perjuangan perlu segera meletak jawatan.

“Soal sama ada akta berkenaan mewajibkan pilihan raya semula diadakan di kawasan wakil rakyat yang lompat parti, perkara itu perlu dikaji tetapi saya berpandangan ia perlu.

“Lebih baik wakil rakyat yang lompat parti letak jawatan, bertanding semula pada pilihan raya khas di kawasan mereka dan memberi tawaran manifesto pilihan raya atas tiket parti atau agenda baharu. Dengan cara itu, barulah mereka mempunyai hak untuk mengatakan mereka benar-benar mewakili suara pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada ahli-ahli politik di Malaysia komited untuk menggubal Akta Anti Lompat Parti di negara ini bagi membendung penularan kes wakil rakyat lompat parti yang semakin berleluasa sejak pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Untuk rekod, Sinar Harian mengenal pasti seramai 39 ahli Parlimen daripada pelbagai parti bertindak keluar parti masing-masing bermula pasca PRU14 sehingga kini.

Keratan Sinar Harian 1 April.
Keratan Sinar Harian 1 April.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, walaupun akta tersebut belum digubal lagi, perkara terbaik yang boleh dilakukan rakyat bagi menghukum golongan wakil rakyat ‘katak’ buat masa ini adalah dengan memboikot undi kepada mereka.

Bagi Ahli Dewan Negara, Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff pula, mana-mana amalan ahli atau parti politik di Malaysia yang membawa ketidakstabilan dan kemudaratan terutama dalam aspek ekonomi negara, maka satu undang-undang berteraskan 'Rule Of Law' perlu diwujudkan.

Bagaimanapun, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mempersoalkan iltizam dalam kalangan ahli-ahli politik di Malaysia untuk memastikan undang-undang seperti Akta Anti Lompat Parti dijayakan.

“Saya sudah mengadakan inisiatif bekerjasama dengan beberapa pemegang taruh termasuk daripada sektor korporat, persatuan sivil dan ahli akademik serta ahli-ahli politik bagi tujuan menggubal undang-undang seperti Akta Anti Lompat Parti.

“Saya sendiri bersama mendiang Karpal Singh (bekas ahli Parlimen Bukit Gelugor) sudah menggubal akta berkenaan di Pulau Pinang sebelum ini.

“Malangnya akta itu tidak terpakai sehingga kini. Ini kerana perkara itu memerlukan iltizam politik dan beberapa perkara berkaitan. Sekiranya aspek itu tiada, penggubalan akta berkenaan tidak akan membantu menyelesaikan masalah wakil rakyat lompat parti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan mengakui pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti sangat relevan dengan kehendak politik semasa.

“Bagaimanapun, penggubalan akta mesti dilaksanakan bersama kewajipan pelaksanaan semula pilihan raya di kawasan wakil rakyat yang melompat,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!