Kajian had umur wakil rakyat

No Image Caption
A
A
A

ISU undi untuk golongan muda berumur 18 tahun secara automatik memang hangat diperkatakan sekarang. Sejak ia diluluskan Parlimen, ramai bersetuju dengan penurunan umur mengundi itu.

Ia sebenarnya selangkah ke hadapan. Sudah tiba masanya kita memberi peluang kepada anak-anak muda memainkan peranan untuk terlibat dalam proses membentuk kerajaan.

Umur 18 tahun boleh dikatakan sudah matang walaupun ada mengatakan umur 18 tahun masih tidak matang. Orang yang berkata umur 18 tahun tidak matang sepatutnya mengatakan juga kahwin pada usia 18 tahun ke bawah tidak matang.

Menjadikan anak-anak matang berpunca daripada cara mendidik mereka, contohnya anak saya berumur 10 tahun memang kelihatan sangat matang. Setiap pagi semasa sarapan dia akan membaca surat khabar.

Kemudian dia akan bertanya juga isu-isu semasa. Contohnya: “Kenapa Ahmad Zahid digesa berundur abah?”

Dan ada juga dia bertanya: “Bila menteri kena letak jawatan abah?”

Selain itu, dia bertanya: “Pas bermain dua kolam itu apa abah?”

Begitulah soalan-soalan yang matang pada usia 10 tahun yang mencabar minda untuk menjawabnya.

Artikel Berkaitan:

Kalau kita lihat negara lain pun, kebanyakannya telah mewartakan umur pengundi berusia 18 tahun dan dengar ceritanya lagi, ada beberapa negara hendak menurunkan lagi had umur mengundi kepada 16 tahun.

Contohnya, Jerman, setelah 50 tahun menukar had umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, kini mereka bercadang untuk menukar kepada 16 tahun pula. Setakat yang saya baca ini, masih belum ada keputusan lagi.

Tetapi di Jerman mungkin, hasil bacaan saya, cara didikan mereka menjadikan muda-mudi berumur 16 tahun sudah mempunyai fikiran matang dan berupaya terlibat dalam proses pembentukan negara.

Mereka yang muda ini mungkin dapat memberi pandangan atau cadangan lebih progresif dan berdaya maju daripada orang-orang tua yang sudah lemah kepala lututnya.

Ada beberapa negara lain juga sedang bercadang menukar had umur pengundi daripada 18 tahun kepada 16 tahun. Contohnya, Australia pada 2019 ada cadangan menurunkan lagi had umur pengundi kepada 16 tahun.

Bagi Malaysia pula, tarikh penguatkuasaan had umur ini masih belum ditetapkan lagi menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kata SPR, mereka memerlukan masa untuk menaik taraf sistem, penglibatan dengan agensi kerajaan yang lain, pelbagai pindaan dan macam-macam lagi. Itu yang sempat saya baca dalam laman sesawang SPR.

Kenyataan

Kita berharap ia akan menjadi kenyataan. Jangan dibiarkan terlalu lama, nanti yang berumur 18 tahun akan lemah lututnya pula kerana menurut Jabatan Perangkaan, Malaysia akan menjadi negara yang ramai orang tua.

Katanya lagi, ia disebabkan purata umur meninggal dunia rakyat kita adalah 75 tahun berbanding 60 tahun mengikut data-data sebelumnya, maka akan bertambahlah orang-orang tua.

Bercakap tentang mereka yang tua-tua ini, saya ada cadangan – amat bagus kalau dapat digubal undang-undang dan dilaksanakan secepat mungkin.

Selain menurunkan had umur pengundi, kita mungkin lupa untuk tetapkan had maksimum menjadi wakil rakyat. Mungkin orang-orang berkenaan boleh bentangkan perkara ini. Saya rasa ia perlu dilakukan kerana terlampau ramai wakil rakyat tua yang mungkin tidak berapa sihat.

Seperti dikatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mereka mungkin akan terdedah penyakit berbahaya, tidak tahan suhu sejuk dan terdedah dengan Covid-19. Paling penting tidak nyanyuk dalam membuat keputusan.

Umur yang lebih pada had, contohnya 60 tahun akan mendatangkan masalah seperti berlaku sekarang. Walaupun ada peribahasa Melayu kita mengatakan tua-tua keladi, makin tua menjadi, namun makin tua makin menjadi itu yang sangat berbahaya dan tidak boleh dijangka.

Saranan saya, eloklah dibuat kajian tentang cadangan itu. Umur lebih daripada 60 tahun bak kata peribahasa kita, sudah menjadi seperti kuda tua.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com