Indonesia perketat kawalan keselamatan

Anggota keselamatan turut melakukan pemeriksaan ke atas barangan milik individu yang mahu memasuki gereja di Bandung, Jawa Barat pada Jumaat. - Foto: AFP
Anggota keselamatan turut melakukan pemeriksaan ke atas barangan milik individu yang mahu memasuki gereja di Bandung, Jawa Barat pada Jumaat. - Foto: AFP
A
A
A

JAKARTA - Pasukan keselamatan Indonesia pada Jumaat meningkatkan kawalan keselamatan ketika penganut Kristian menyambut Good Friday susulan insiden serangan bom bunuh diri ke atas sebuah gereja pada akhir minggu lalu.

Langkah itu dibuat selepas Polis Nasional memaklumkan ia akan meningkatkan kawalan di gereja seluruh negara menjelang sambutan perayaan penganut Kristian, Hari Easter pada akhir minggu ini.

Jurucakapnya, Rusdi Hartono berkata, anggota pasukan keselamatan di seluruh wilayah diarahkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga malah polis juga akan ditempatkan di pintu masuk gereja.

Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas Presiden Joko Widodo atau Jokowi mengutuk dua serangan ganas itu dan mengarahkan pihak berkuasa supaya sentiasa berwaspada.

Pada Rabu lalu, seorang wanita dikenali sebagai Zaikah Aini, 25, bertindak secara sendirian menyerang ibu pejabat Polis Nasional di Jakarta sebelum dia ditembak mati dalam kejadian tersebut.

Insiden itu berlaku kira-kira dua hari selepas pasangan baru berkahwin menyerang sebuah gereja di Makassar, Pulau Sulawesi yang turut mencederakan 20 individu pada akhir minggu lalu. - Agensi

Artikel Berkaitan: