Hannah gesa sidang Parlimen dipercepatkan

Dari kiri: S Ambiga, Maria Chan, Dr Maszlee dan Hannah.
Dari kiri: S Ambiga, Maria Chan, Dr Maszlee dan Hannah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sidang Parlimen boleh dipercepatkan kerana ahli Parlimen sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, sudah tiba masanya Parlimen bersidang untuk membincangkan isu rakyat.

Hannah turut mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sidang Parlimen tidak boleh diadakan kerana terdapat ahli Parlimen yang terdiri daripada warga emas yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

"Tetapi sekarang, semua ahli Parlimen telah menerima suntikan vaksin malah stadium juga dibuka, menteri boleh merentas negeri untuk menghadiri majlis perkahwinan.

"Kita mempunyai banyak soalan kepada Takiyuddin berkenaan pelaksanaan undang-undang berkenaan Undi 18 tidak boleh dilaksanakan sekarang.

"Bagaimanapun persoalan ini sepatutnya perlu diajukan dalam persidangan Parlimen dan bukan di balai polis," katanya kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada Jumaat.

Beliau sebelum itu memberi keterangan berkenaan kehadirannya ke Perhimpunan Undi18 pada Sabtu

Sementara itu aktivis, Datuk S Ambiga yang turut hadir menyokong Hannah menggesa rakyat berumur 21 tahun ke atas mendaftar untuk mengundi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, proklamasi darurat yang menggantung sidang Parlimen adalah satu perkara yang memalukan.

"Kalau tidak boleh bersidang secara bersemuka, persidangan boleh dibuat secara dalam talian. Kita mesti kembali kepada undang-undang kerana jika kita terus mendiamkan diri, ia (salahguna kuasa) akan berlaku lagi," katanya.

Turut hadir menyokong Hannah ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan.

Pada Rabu, polis memanggil lapan individu perhimpunan membantah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan Undi 18 tahun di Jalan Parlimen di sini pada Sabtu.

Individu terbabit ialah aktivis Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amir Abdul Hadi; Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), Sharan Raj; Ahli Jawatankuasa Pemuda Sosialis PSM, Arveent Kathirtchelvan dan Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Selain itu, Ketua Pemuda DAP, Howard Lee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura serta Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad juga memberi keterangan berkaitan perhimpunan berkenaan.