'Jangan beri tekanan kepada Azizulhasni'

Azizulhasni menjadi prospek terbaik Malaysia meraih pingat emas pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Azizulhasni menjadi prospek terbaik Malaysia meraih pingat emas pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
A
A
A

DATUK Lee Chong Wei percaya pelumba sensasi negara, Azizulhasni Awang berada pada landasan yang betul dalam mengejar kejayaan meraih pingat emas pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bagaimanapun, bekas jaguh badminton negara itu berkata, Azizulhasni tidak seharusnya diberikan sebarang tekanan memandangkan pelbagai cabaran bakal dihadapi pada temasya di Tokyo nanti.

"Saya tahu apa yang Azizul mahukan (pingat emas) di Tokyo. Saya yakin beliau mempunyai keyakinan tinggi setelah berjaya dalam kejohanan di Australia, baru-baru ini.

"Sebagai bekas atlet, saya amat memahami perasaan beliau sekarang ini. Oleh itu, saya tidak akan memberi sebarang tekanan kepada Azizul dan saya berdoa agar beliau melakukan yang terbaik di Tokyo nanti,” kata Chong Wei kepada Bernama baru-baru ini.

Azizulhasni meraih dua pingat perak dalam acara pecut dan keirin lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia pada hujung minggu lepas.

Bekas juara dunia berusia 33 tahun itu mengalahkan seorang lagi pelumba basikal trek negara, Mohd Shah Firdaus Sahrom untuk merangkul kejuaraan dalam acara pecut final lelak pada Kejohanan Trek Victoria Elite, Februari lepas.

Azizulhasni yang juga dikenali dengan julukan The Pocket Rocketman berjaya melayakkan diri dalam acara kegemarannya keirin dan acara pecut individu ke Sukan Olimpik Tokyo dari 23 Julai hingga 8 Ogos.

Sementara itu, Chong Wei yang juga Ketua Kontinjen Malaysia Sukan Olimpik Tokyo 2020, menyifatkan Sukan Olimpik pada tahun ini sangat luar biasa kerana ia diadakan ketika dunia masih berdepan dengan penularan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah masa yang mencabar untuk semua dan saya harap para atlet berada dalam keadaan yang sihat. Saya juga harap Covid-19 akan cepat berakhir dan berdoa agar semuanya kembali normal," ujar pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu.

Legenda badminton negara itu juga gembira melihat semua urusan persiapan menghadapi acara sukan terbesar di dunia itu, berjalan lancar.

Beliau juga berharap agar atlet tidak mengalami sebarang kecederaan menjelang pertandingan, yang akan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos. - Bernama