Malaysia, China meterai perjanjian kerjasama pasca Covid-19

Malaysia-China menandatangani MoU mengenai Pembentukan Jawatankuasa Peringkat Tinggi untuk Mempromosi Kerjasama Era Pasca Covid-19. - Foto Bernama
Malaysia-China menandatangani MoU mengenai Pembentukan Jawatankuasa Peringkat Tinggi untuk Mempromosi Kerjasama Era Pasca Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia dan China menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Pembentukan Jawatankuasa Peringkat Tinggi untuk Mempromosi Kerjasama Era Pasca Covid-19, satu perkembangan bersejarah dalam hubungan Malaysia-China dan yang pertama seumpamanya untuk Malaysia.

MoU itu dimeterai semasa mesyuarat antara Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatannya dari China merangkap anggota dewan negara, Wang Yi di Fujian, China pada Khamis.

Kunjungan dua hari Hishammuddin ke negara itu atas undangan Wang Yi.

Pada sidang akhbar bersama itu, Hishammuddin berkata, berdasarkan MoU, Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kerjasama Pasca Covid-19juga ditubuhkan, yang dipengerusikan beliau dan Wang Yi.

Jawatankuasa itu akan bertindak sebagai mekanisme dua hala yang menyeluruh, memantau pelaksanaan semua persefahaman dan menyediakan garis panduan dasar untuk kemajuan semua aspek hubungan Malaysia-China.

"Antara lain ia akan merangkumi kesiapsediaan dan tindak balas pandemik, perdagangan dan pelaburan, komoditi, keselamatan makanan, sains, teknologi dan inovasi, kemudahan perjalanan dan inisiatif Belt and Road," katanya.

Beliau berkata, tumpuan awal usaha itu ialah meletakkan asas yang kukuh untuk lawatan timbal balik oleh pemimpin kedua-dua negara, iaitu lawatan rasmi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke China tidak lama lagi, dan kunjungan kepimpinan China ke Malaysia.

Sementara itu, mengenai kerjasama vaksin, Hishammuddin menzahirkan terima kasih kepada Presiden Xi Jinping kerana memenuhi ikrarnya menyediakan vaksin yang selamat dan berpatutan untuk 'kebaikan awam global', sambil menambah Malaysia telah memperoleh dua jenis vaksin keluaran China - SinoVac dan CanSino.

Artikel Berkaitan:

"Susulan pertemuan hari ini, kami sedang mempertimbangkan untuk menambah jumlah tersebut dan memperluas lagi penggunaan vaksin buatan China generasi kedua dan ketiga," katanya.

Pada prinsipnya, kedua-dua negara bersetuju untuk saling mengiktiraf sijil digital vaksinasi mereka, atau sijil kesihatan Covid-19, yang akan memudahkan pergerakan rentas sempadan antara Malaysia dan China dalam waktu terdekat, katanya.

"Hasil perbincangan kami hari ini, Wang Yi dan saya telah bersetuju bahawa perbincangan lebih lanjut membabitkan pelbagai agensi dan kementerian sebelum pengumuman dibuat kedua-dua pemimpin kita untuk merealisasikan perjanjian ini," katanya.

Perbincangan itu juga menjurus kepada usaha meningkatkan perdagangan Minyak Sawit Malaysia dengan China pada masa depan dan Malaysia berpuas hati dengan komitmen Beijing untuk membuka segmen Minyak Sawit Merah (RPO) di pasaran China dengan Standard Group RPO baharu.

"Saya difahamkan Malaysia adalah satu-satunya negara yang menghasilkan RPO, jadi saya sangat berharap supaya pengeksport Malaysia memanfaatkan peluang keemasan ini untuk mengeksport RPO ke China," katanya.

Di bawah jawatankuasa peringkat tinggi yang baru ditubuhkan, kedua-dua menteri juga membincangkan beberapa agenda lain termasuk keselamatan makanan yang memerlukan usaha bersama bagi memastikan rantaian bekalan global berterusan, akses fizikal dan ekonomi yang adil untuk makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat.

"Malaysia sedang memulakan Gabungan Keselamatan Makanan Antarabangsa (IFSC) dan kami mengharapkan penyertaan China selepas agensi berkaitan membangunkan ekosistem menyeluruh di peringkat dua hala," katanya.

Mengenai perdagangan dan pelaburan, ujar Hishammuddin, kedua-dua menteri juga gembira dengan minat Perdana Menteri, Li Keqiang terhadap usaha Malaysia meningkatkan Hab Automotif Komprehensif Tanjung Malim dan Pagoh yang akan dihubungkan dengan Lembah Automatif ASEAN (AAV).

Hishamuddin turut memaklumkan bahawa Malaysia telah melancarkan Pusat Sehenti (OSC) untuk memudahkan pelancong perniagaan jangka pendek sekali gus membolehkan pemulihan dan pengaktifan semula hubungan perniagaan serta aktiviti antara Malaysia dan dunia secepat mungkin, termasuk dengan China.

"Sehingga kini, OSC telah menerima banyak permohonan dan Malaysia ingin menggalakkan lebih ramai usahawan Cina untuk memanfaatkan kemudahan yang selamat, mudah dan mesra pengguna," katanya.

Mengenai perjalanan rentas sempadan, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) dan rumusan awal rundingan mengenai Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) antara Malaysia dan China.

Hishammuddin turut menyentuh mengenai keperluan penuntut Malaysia untuk kembali dan meneruskan pengajian di China.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Wang Yi atas komitmen peribadinya untuk menyelesaikan masalah itu dengan segera setelah berunding dengan pihak berkuasa kesihatan dan pihak berkuasa sempadan berkaitan," katanya. - Bernama