Penemuan mayat: Polis kesal penduduk tambah fakta tidak benar

Sinar Harian pada Khamis melaporkan mayat lelaki ditemui terapung dalam tali air di Kampung Kerasak, Pasir Mas. Gambar kecil: Mohd Nasaruddin
Sinar Harian pada Khamis melaporkan mayat lelaki ditemui terapung dalam tali air di Kampung Kerasak, Pasir Mas. Gambar kecil: Mohd Nasaruddin
A
A
A

PASIR MAS - Polis kesal dengan tindakan segelintir individu yang menambah fakta tidak tepat mengenai mayat seorang remaja berusia 20 tahun yang ditemui terapung dalam tali air Kampung Kerasak, Bunut Susu di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, tokok tambah berkenaan menyebabkan imej polis tercalar.

Menurutnya, cerita bahawa polis sengaja membiarkan mangsa lemas dalam tali air walaupun melihat kejadian tersebut tidak benar sama sekali.

"Cerita itu (yang ditokok tambah) daripada penduduk setempat dan sampai ke pengetahuan kita.

"Ada juga yang memberitahu polis mengejar mangsa," katanya kepada pemberita selepas menjawab khabar angin berhubung penemuan mayat lelaki berusia 20 tahun di dalam tali air Kampung Kerasak, Bunut Susu.

Mohd Nasaruddin menegaskan tiada unsur jenayah dikesan berdasarkan laporan bedah siasat dan polis bimbang 'cerita' itu akan mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan ahli keluarga mangsa.

Justeru beliau berharap orang ramai segera berhenti daripada menyebarkan berita tidak benar itu.

Menjelaskan perkara itu, Mohd Nasaruddin berkata, pada 30 Mac lalu sekitar jam 4 petang semasa polis melakukan rondaan di kawasan tali air Kampung Aur Cina, Slow Machang, anggota terserempak dengan mangsa serta rakan menaiki sebuah motosikal.

Artikel Berkaitan:

"Apabila diarahkan berhenti kedua-dua suspek telah meninggalkan motosikal dan lari ke dalam semak.

"Anggota bertugas kemudian telah membawa pulang motosikal bersama barang rampasan iaitu sebuah beg silang untuk membuat laporan serta pemeriksaan lanjut," katanya.

Mohd Nasaruddin berkata, bagaimanapun pada Khamis pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat di dalam tali air itu pada jam 9.05 pagi.

"Ibu mangsa sebelum itu sudah membuat laporan polis mengenai anaknya yang tidak pulang ke rumah pada 31 Mac dan kita membuka siasatan berkaitan kes orang hilang," katanya.

Beliau berkata, polis kini sedang mengesan seorang lagi rakan mangsa berusia 20-an untuk membantu siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat lelaki ditemui terapung dalam tali air