3.5 peratus penerima vaksin alami kesan sampingan: Dr Adham

Kira-kira 3.5 peratus atau 25,770 daripada 740,226 penerima vaksin Covid-19 di negara ini dikesan mengalami kesan sampingan -Foto Bernama
Kira-kira 3.5 peratus atau 25,770 daripada 740,226 penerima vaksin Covid-19 di negara ini dikesan mengalami kesan sampingan -Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 25,770 kes atau 3.5 peratus daripada 706,404 penerima vaksin Covid-19 sehingga 31 Mac lepas, dikesan mengalami kesan sampingan ringan dan serius.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, daripada jumlah kesan sampingan itu, sebanyak 3,676 kes dikesan menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan 22,094 kes dikesan melalui aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata, kira-kira 99.5 peratus daripada kes itu adalah kesan ringan dan selebihnya kes serius yang memerlukan rawatan serta pemerhatian lanjut pakar kesihatan.

“Antara kesan ringan yang dialami penerima vaksin adalah sakit di tempat suntikan, demam, sakit kepala, keletihan, muntah, loya, sakit di sendi dan sengal-sengal di badan...bagi kesan lebih teruk seperti bengkak di sebahagian anggota badan seperti muka, sesak nafas dan tidak selesa di bahagian dada.

“Kesemua mereka yang mengalami kesan serius telah dimasukkan ke wad untuk pemantauan lanjut dan kebanyakan mereka sudah sihat dan dibenarkan untuk keluar dari hospital,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan tiga buku berkaitan isu pandemik Covid-19 di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, peratusan kesan sampingan penerimaan vaksin Covid-19 yang dikesan di negara ini adalah lebih rendah berbanding peratusan semasa kajian fasa ketiga vaksin Pfizer-BioNTech.

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga kini, tiada kes kematian direkodkan akibat kesan langsung daripada penerimaan vaksin Covid-19.

Ditanya tentang pengambilan vaksin Covid-19 dalam kalangan ibu mengandung, Dr Adham berkata, berdasarkan data klinikal syarikat Pfizer-BioNTech memaklumkan bahawa tiada sebarang masalah bagi ibu mengandung dan menyusu untuk menerima suntikan vaksin itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata kumpulan itu disarankan membuat penilaian risiko terlebih dahulu dengan pakar di klinik kesihatan awam atau hospital swasta.

“Akan tetapi mereka (ibu mengandung dan menyusu) boleh merujuk doktor masing-masing, kemungkinan ada risiko yang tertentu, bagaimanapun, setakat ini data menunjukkan bahawa ibu mengandung boleh diberikan vaksin Covid-19,”katanya.

Setakat ini, ibu mengandung dalam kalangan petugas barisan hadapan telah mula menerima vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech. - Bernama