Ibu, anak dan bakal menantu antara 181 ditahan positif dadah

Nazira bercakap pada sidang media mengenai satu Operasi Perdana AADK Negeri Selangor Siri 1/2021 di Bangunan Persekutuan hari ini. - Foto Bernama
Nazira bercakap pada sidang media mengenai satu Operasi Perdana AADK Negeri Selangor Siri 1/2021 di Bangunan Persekutuan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang ibu tunggal, anak lelaki serta bakal menantunya merupakan antara 181 individu ditahan positif dadah menerusi operasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di beberapa daerah di Selangor pada 29 hingga 31 Mac lepas.

Pengarah AADK Selangor, Dr Nazira Sadiron berkata, ibu tunggal berusia 48 tahun itu ditahan bersama anaknya berumur 18 tahun dan seorang wanita yang didakwa bakal menantunya, 20, dalam sebuah rumah di Sepang selepas mereka didapati positif dadah jenis syabu.

Beliau berkata, operasi tiga hari di daerah Petaling, Sepang, Ampang, Klang dan Kuala Selangor itu bertujuan membanteras serta mengambil tindakan terhadap penagihan dan pengedaran dadah dalam usaha memutuskan rantaian penagihan yang semakin meningkat.

"Seramai 204 individu ditahan dalam operasi ini, iaitu 194 disaring dan 181 daripadanya disahkan positif dadah manakala 13 lagi disahkan negatif," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat AADK Selangor di Petaling Jaya dekat sini, pada Jumaat.

Katanya, kesemua yang didapati positif dadah itu terdiri daripada 166 lelaki dan 15 wanita.

Dalam pada itu, Nazira berkata pihaknya turut merampas heroin dan syabu masing-masing seberat 80.69 dan 35.84 gram, selain dua sarang penagihan dimusnahkan di Flat Seri Perantau, Klang dan di ladang kelapa sawit di Ijok, Kuala Selangor dalam operasi itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: